AM > BERITA

KPDN tetapkan lokasi bekalan minyak masak paket subsidi, kekang ketirisan - Armizan

26/07/2024 10:00 PM

SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan menetapkan lokasi bekalan minyak masak paket bersubsidi kepada premis peruncitan, bagi memastikan ketirisan barang kawalan itu tidak lagi berlaku.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebelum ini, syarikat pembungkusan dibenarkan menentukan lokasi pengedaran atau membuat penghantaran bekalan minyak masak mengikut permintaan.

“Jadi selepas ini, bukan lagi (syarikat pembungkusan) menentukannya tapi KPDN tentukan senarai bekalan. Kita (KPDN) akan serahkan (senarai) kepada syarikat pembungkusan melihat kepada keperluan di suatu daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas program Sesi Dailog Rakyat di sini hari ini.

Armizan berkata langkah itu diambil KPDN selepas pihaknya melakukan audit audit dalaman bagi mengenal pasti aktiviti dan punca penyelewengan barangan kawalan itu.

Beliau berkata sesi libat urus berhubung langkah itu, kini dijalankan di semua negeri dan ketua-ketua cawangan KPDN di peringkat daerah sedang menentukan premis peruncitan yang memerlukan bekalan tersebut.

Armizan berkata menerusi langkah itu, KPDN akan memantau syarikat pembungkusan menerusi sistem eCOSS, sama ada mereka menghantar bekalan mengikut senarai yang ditetapkan atau sebaliknya.

Sementara itu Armizan berkata KPDN telah membuat keputusan untuk mewajibkan syarikat pembungkusan minyak, menghantar bekalan minyak masak paket bersubsidi ke penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara.

Beliau berkata perkara itu bagi memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi, sampai kepada golongan sasar yang memerlukan.

Sementara itu, Armizan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan satu kempen besar-besaran peringkat nasional diketuai Kementerian Kesihatan (KKM), bagi mengurangkan penggunaan gula dalam kalangan rakyat.

“Pihak-pihak terlibat akan membincangkan langkah yang akan dilaksanakan berhubung kempen mengurangkan penggunaan gula sebagaimana diarahkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan