AM > BERITA

Program peringkat negeri perlu ambil kira sensitiviti kepelbagaian bangsa - TYT

27/07/2024 01:39 PM

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Setiap program peringkat negeri perlu dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti kepelbagaian bangsa yang wujud demi keamanan dan kesejahteraan bersama, kata Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berkata kepelbagaian bangsa, agama, kaum dan budaya, disulami dengan perbezaan bahasa serta taburan demografi serta generasi pada hari ini perlu diraikan tanpa mewujudkan sebarang jurang perbezaan. 

"Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bahawa ‘setiap kita harus hormat hak dan perasaan masing-masing, bertolak ansur dengan agama orang lain, adat dan tabiat, kerana menerusi kepelbagaian itu kita boleh mendapat perpaduan yang sebenar'.

"Ia penting bagi semua rakyat negeri ini agar tidak terpesong dan terpisah daripada hidup bersatu," katanya dalam ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata perjuangan ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran di negeri ini bukan hanya terletak pada bahu individu atau pihak tertentu sahaja, malah ia juga merupakan amanah serta tanggungjawab yang perlu digalas bersama oleh semua pihak.

Sementara itu, Ahmad Fuzi berkata kerajaan negeri perlu melaksanakan projek-projek bersifat game changer atau pengubah keadaan melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). 

"Hal ini termasuk projek-projek berimpak tinggi yang dapat mengubah landskap ekonomi negeri termasuk membangunkan daerah-daerah di Seberang Perai khususnya yang agak terbelakang dari segi pembangunan agar limpahan nikmat ekonomi dapat disamaratakan.

"Seterusnya, bagi menyemarakkan lagi sektor pembangunan dan menambah baik kualiti hidup penduduk yang terlibat, saya juga ingin menyeru agar kerajaan negeri dan agensi-agensi berkenaan membangunkan kawasan-kawasan yang berpotensi termasuk tanah-tanah wakaf di Kampung Dodol dan Kampung Makam yang strategik lokasinya di tengah-tengah bandar raya," katanya. 

Ahmad Fuzi turut memuji usaha kerajaan negeri yang komited dan fokus dalam memastikan ekosistem ekonomi Pulau Pinang terus kekal berdiri teguh walaupun berdepan senario ekonomi global yang mencabar dan konflik geopolitik pada masa ini.

Beliau berkata Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi iaitu RM116 bilion pada 2023 berbanding RM112.3 bilion pada tahun sebelumnya, serta menyumbang 7.4 peratus kepada ekonomi Malaysia.

Terdahulu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2024 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-75 Ahmad Fuzi dimulakan dengan 17 das tembakan meriam diikuti dengan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan serta kawalan kehormatan.

Pada tahun ini, sebanyak 142 individu akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran, manakala 1,204 orang menerima Bintang dan Pingat Kehormatan dengan bekas Pengerusi DAP Tan Sri Lim Kit Siang mendahului senarai 235 penerima pada hari ini, yang merupakan penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) membawa gelaran Datuk Seri Utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan