AM > BERITA

PKD Mobile akan diperluas ke kawasan pedalaman, perkampungan Orang Asli

27/07/2024 05:12 PM

GOMBAK, 27 Julai (Bernama) -- Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile akan diperluaskan ke kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli dalam usaha kerajaan mendekatkan perkhidmatan dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat desa. 

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata melalui PKD Mobile, kerajaan dapat menyalurkan bantuan dan maklumat terus kepada orang ramai melalui perkhidmatan daripada agensi dan jabatan serta pihak swasta.

"Terdapat 191 PKD telah diwujudkan di seluruh negara yang diilhamkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat bersama seluruh agensi untuk mendekati masyarakat menyampaikan segala maklumat dan perkara yang boleh dibantu bawah seliaan kementerian itu.

"PKD Mobile akan dilaksanakan di Kelantan pada minggu hadapan dan kita akan mengadakannya di kawasan-kawasan pedalaman disebabkan mereka tidak dapat keluar terutamanya di kawasan Orang Asli," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Mini PKD Mobile Negeri Selangor Tahun 2024 di Batu Caves di sini hari ini.

Beliau berkata program PKD Mobile mampu membantu penduduk desa dalam mencapai Aspirasi Desa Makmur Tahun 2024 secara lebih efisien dan efektif dengan mengaplikasikan empat tunjang utama iaitu Data dan Digital, Ekonomi dan Ehsan, Sosial dan Sahsiah serta Akaliah dan Alam Sekitar.

 "Menerusi program ini juga, Aspirasi Desa MADANI dilihat mampu dicapai dengan cara memperkasa kemahiran dan pengetahuan melalui maklumat daripada agensi yang terlibat bersama penduduk desa dalam program PKD Mobile ini.

"Selain itu, keberkesanan dan kecekapan di dalam Aspirasi Desa MADANI juga dapat dijadikan batu loncatan menerusi program ini.

"Tambahan pula, penekanan aspek data dan digital turut menyumbang kepada keberhasilan program PKD Mobile seiring dengan keperluan penduduk desa pada masa kini," katanya.

Penekanan dalam penghasilan faktor ‘wow’ turut membantu pembangunan penduduk setempat dan peningkatan kualiti kehidupan penduduk desa ke satu tahap yang lebih baik, tambah beliau.

Megat Zulkarnain berkata menerusi program itu, pelbagai perkhidmatan penting seperti kesihatan, pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosial dapat disampaikan terus kepada penduduk desa antaranya Medi-Doc dan Medi-Kiosk yang menggunakan teknologi kesihatan dan perkhidmatan internet untuk mengesan tahap kesihatan individu.

Beliau berkata pembangunan ekonomi dan sosial penduduk desa secara kecil-kecilan melalui produk-produk tempatan seperti kraftangan tradisional, penjualan buah-buahan tempatan mengikut musim, kuih-muih dan produk sejuk beku berupaya diperluaskan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk desa sekiranya diusahakan secara konsisten.

"Seiring dengan penerapan nilai ekonomi sosial dalam gerak kerja KKDW, penekanan turut diberikan dari aspek pendidikan awal, pendidikan menengah dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memastikan masyarakat desa tidak jauh ketinggalan.

"Pembangunan ekonomi dan keusahawanan turut menjadi kayu pengukur dalam membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan dinamik buat penduduk desa melalui program ini.

“Berdasarkan hala tuju dan indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan melalui program itu, terdapat perkhidmatan daripada agensi GiatMARA yang menyediakan kemahiran menukar minyak hitam motosikal bagi komuniti desa,” katanya.

Megat Zulkarnain menambah bahawa agensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan harga berpatutan kepada pengunjung wanita selain alat permainan lembut kepada kanak-kanak sebagai tarikan buat orang ramai.

Bagi penggemar barangan kemas, pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyediakan kemudahan mencuci emas, manakala Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mendatangkan hasil kraftangan Orang Asli, anyaman tikar mengkuang dan sabun herba.

Selain itu, agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga tidak ketinggalan menyertai pameran dengan mengetengahkan maklumat tentang keusahawanan sementara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula berkongsi maklumat mengenai Skim Suri Rumah (SSR) dan Skim Bekerja Sendiri (SBR).

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan