AM > BERITA

JAKOA Kelantan Akan Pastikan Kualiti Bekalan Air Di Kuala Lah Terjamin

28/07/2024 10:46 PM

KOTA BHARU, 28 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan bertanggungjawab memastikan bekalan air terawat di setiap perkampungan Orang Asli terutama di Kampung Kuala Lah, Gua Musang terjamin untuk kegunaan harian.

Unit Komunikasi Korporat JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem rawatan air secara berjadual telah dilaksanakan di kawasan penempatan terbabit agar penduduk dapat menjalani kehidupan seharian dengan selesa.

"Kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem rawatan air di perkampungan Orang Asli Kuala Lah telah membuat kerja-kerja di tapak seperti biasa dan akan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

"JAKOA Kelantan mendapati penduduk membuat aduan itu bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan Kelantan untuk mendapatkan sumber air yang bersih di Kampung Kuala Lah," menurut kenyataan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kuala Lah Ayob Daun berkata air di kampung itu masih ada seperti biasa tetapi ketika hujan lebat air akan bertukar keruh serta berkurang aliran kerana ruang tandak tersumbat akibat dimasuki pasir.

Semalam, media melaporkan 400 penduduk Orang Asli dari Kampung Kuala Lah merayu untuk mendapatkan bekalan air bersih kerana terpaksa bergantung kepada air tadahan bukit atau tandak yang terletak kira-kira 20 kilometer di kawasan pergunungan Stong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan