AM > BERITA

JPSM Bersama JPNPs Anjur Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi

30/07/2024 02:20 PM

PADANG BESAR, 30 Julai (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) menganjurkan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi di Hutan Simpan Bukit Jernih untuk mengumpul maklumat kepelbagaian biologi di kawasan hutan simpan itu.

Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata ekspedisi selama lima hari bermula Jumaat lepas itu melibatkan penyertaan 150 peserta terdiri 84 penyelidik serta 39 petugas Jabatan Perhutanan dan 27 sukarelawan teknikal dari Persatuan Perlis Climbers dan Komuniti Kampung Bukit Jernih.

“Berdasarkan rekod, sejak 1999 ekspedisi ini dilaksanakan JPSM dan sebanyak lima kali ekspedisi ini dijalankan yang melibatkan kawasan hutan simpan di Perlis iaitu pada 1999, 2000, 2019, 2022 dan 2024.

“Fokus ekspedisi ini bagi mengumpul dan mendokumenkan penemuan baharu dalam kawasan hutan simpan. Hutan ini ialah bukit batu kapur yang baru kita wartakan pada 2021 dengan keluasan lebih kurang 33.78 hektar, jadi bila baru warta kita memang tidak cukup maklumat tentang hutan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Ag Shaffie berkata untuk tiga hari pertama ekspedisi saintifik itu dilakukan sudah ada petunjuk penemuan baharu yang hanya akan disahkan selepas penelitian lanjut daripada penyelidik terbabit. 

Beliau berkata selepas disahkan sebagai penemuan baharu ia akan dibentangkan pada seminar yang akan diadakan pada tahun depan sebelum dibukukan dalam buku prosiding seminar dan kemudian akan diedarkan kepada pihak berkepentingan berkaitan hutan simpan itu.

“Selain itu, ekspedisi saintifik ini juga sangat membantu Jabatan Perhutanan untuk menilai sejauh mana pengurusan hutan kita sama ada ia menambah baik pengurusan hutan itu sendiri atau menyebabkan kemerosotan sumber biodiversiti. 

“Jadi yang penting bagi kami ini, titah Tuanku (Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail) untuk mewujudkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis. Jadi ia sangat selari dengan objektif ekspedisi ini untuk tujuan mendokumentasikan.

“Kalau kita tiada rekod, bagaimana kita mahu wujudkan pusat biodiversiti, hasrat kami adalah untuk memastikan negeri ini menjadi sebagai rujukan kepelbagaian biologi di Zon Utara, sebab buat masa ini untuk di Kedah dan Penang pun tidak ada lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik ekspedisi saintifik berkenaan Prof Dr Rusea Go (She) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata sebanyak 35 bidang kajian menjadi tumpuan antaranya flora dan fauna serta berkaitan geologi dan batuan.

“Sebanyak sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam ekspedisi saintifik ini. Kita berharap dengan penemuan baharu di Hutan Simpan Bukit Jernih ini boleh membantu komuniti memahami apa yang ada supaya boleh membantu kita menjaganya.

"Penemuan ekspedisi ini juga baik untuk ekopelancongan sebab bila komuniti tahu apa dia ada, itu dijadikan sebagai asas menarik pelancong,” katanya.

Selain IPT, tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Warisan Negara, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perlis dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah/Perlis/Pulau Pinang, manakala badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) turut terlibat dalam ekspedisi saintifik itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan