AM > BERITA

Gua Niah Sebagai Tapak Warisan UNESCO Beri Impak Besar Kepada Sektor Pelancongan

30/07/2024 10:08 PM

KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Pengiktirafan Kompleks Gua Taman Negara Niah di Miri sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata susulan itu, pihaknya akan membuat makluman global dengan menguar-uarkan Gua Niah yang terletak di bahagian utara Sarawak sebagai satu lagi produk pelancongan negeri itu.

“Gua Niah ini agak unik kerana manusia pernah tinggal di situ 40,000 tahun lepas dan kajian terbaharu yang dibuat oleh University of New South Wales Australia pula menunjukkan manusia telah mendiaminya lebih lama iaitu 65,000 tahun.

“Banyak khazanah lain seperti perkuburan, tulang serta cengkerang penyu ditemui di situ. Ini bererti suatu ketika dahulu mungkin Gua Niah berdekatan pesisiran,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah negeri di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi prasarana kerajaan negeri sememangnya sudah mempunyai perancangan terperinci termasuk membangunkan pekan Batu Niah yang berdekatan gua itu dengan pembinaan chalet dan kemudahan lain bagi memudahkan pengunjung yang datang. 

“Perkara ini juga telah kita maklumkan kepada pegawai UNESCO yang datang melawat ke situ sebelum ini. Semua perancangan ini memerlukan peruntukan yang agak besar, menelan kos puluhan juta ringgit,” kata Abdul Karim.

Pengiktirafan Kompleks Gua Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia UNESCO itu diumumkan ketika sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 yang berlangsung dari 21 Julai hingga esok di New Delhi, India.

Keputusan untuk memberikan pengiktirafan itu dibuat oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh wakil dari India.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan