AM > BERITA

Deklamasi Sajak "Jenalik Berdarah" Jentik Emosi Kenang Tragedi Sauk

31/07/2024 11:42 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Mendeklamasikan sajak karya sendiri membuatkan Sarjan Siti Nur Aini Jasni dan Insp Muhammad Faizul Mustafa berjaya menghayati setiap bait sajak dengan penuh emosi semasa persembahan pantomim bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Sajak bertajuk "Jenalik Berdarah" yang disampaikan oleh gandingan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, mengiringi kisah pertempuran pasukan keselamatan negara serta sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Al-Maunah, yang dipersembahkan dalam bentuk pantomim bertajuk "Op Subuh".

Op Subuh dilaksanakan ATM dan PDRM merupakan operasi khas bagi menyerbu pangkalan Al-Maunah yang berkubu di Sauk, Perak pada 2 Julai 2000 yang merancang ingin menggulingkan kerajaan pada masa itu. 

Operasi yang dijalankan dengan kredibiliti serta ketangkasan anggota keselamatan yang terlibat, berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah dan membuatkan kesemua anggota kumpulan berkenaan menyerah diri.

Namun, peristiwa di Bukit Jenalik itu telah meragut nyawa dua anggota keselamatan iaitu Detektif Kpl R. Sanghadevan daripada Cawangan Khas PDRM serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM Truper Mathew Medan. 

Berkongsi dengan Bernama, Siti Nur Aini berkata sajak itu bukan sahaja meruntun emosi penonton, malah dirinya sendiri turut terkesan dan tidak dapat mengawal kesedihan sehingga menitiskan air mata ketika mendeklamasikan karya berkenaan di hadapan penonton termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Lebih menyentuh hati, anggota ATM berusia 39 tahun itu berkata ketika sampai pada bait sajak yang berbunyi "laungan ayah … ayah … tidak kedengaran lagi", beliau gagal menahan sebak apabila terkenangkan nasib anak-anak dua perwira negara yang terkorban dalam tragedi berdarah itu, 24 tahun lepas.

“Bila tiba pada bahagian (sajak) itu, saya kenang kembali situasi anak-anak mendiang yang kehilangan bapa ketika masih kecil. 

“Saya turut kaitkan situasi kehilangan seorang bapa dengan diri saya sendiri, jadi dekat situ memang saya sebak tidak terhingga. Bait ini memang killer part (paling menjentik emosi),” katanya yang pernah mendeklamasikan sajak bertajuk Bakara ketika persembahan pantomim "Pertempuran di Pasar Bakara 1993" bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan 2022.

Siti Nur Aini yang telah 10 tahun berkhidmat dalam ATM itu berkata dendangan lagu seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Di Mana Kan Ku Cari Ganti disusuli lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu nyanyian penyanyi legenda Uji Rashid yang dimainkan sebelum mereka mendeklamasikan sajak, menambah kesayuan yang diterjemahkan ketika menyampaikan karya itu.

“Tak pernah saya tak menangis bila deklamasikan sajak ini, ditambah dengan lagu yang dimainkan pula sedih,” kata ibu kepada dua anak itu.

Senada dengan Siti Nur Jasni, Muhammad Faizul, 32, berkata mereka cuba mengawal perasaan agar proses deklamasi sajak berjalan lancar di hadapan tetamu yang hadir pada hari memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan Malaysia itu.

Beliau berkata walaupun tidak mengikuti sebarang kursus penulisan atau pembacaan sajak, pengalaman menyertai Kelab Warisan ketika menuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) banyak membantu beliau untuk menguasai pentas.

“Saya ada asas teater ketika di UTHM sebab saya menyertai beberapa festival teater peringkat negeri semasa zaman belajar. Saya gunakan ilmu ini semasa deklamasi sajak selepas lebih tiga minggu sesi latihan,” kata anggota PDRM yang kali pertama terpilih sebagai pendeklamasi sajak pada Hari Pahlawan 2024.

Mengenai penulisan "Jenalik Berdarah", Siti Nur Jasni dan Muhammad Faizul berkata proses itu mengambil masa beberapa minggu kerana mereka perlu mencari maklumat berkaitan insiden terbabit.

Sambutan Hari Pahlawan disambut pada setiap 31 Julai sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara bergilir antara ATM dan PDRM sejak 1968.

Dataran Pahlawan menjadi lokasi bagi istiadat itu sejak 2010. Sebelum ini, istiadat berkenaan diadakan di Tugu Negara, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan