AM > BERITA

2.2 Tan Metrik Sampah Dan "Pukat Hantu" Dikeluarkan Dari Pulau Sembilan

31/07/2024 12:21 PM

SERI MANJUNG, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak 2.247 tan metrik sampah membabitkan peralatan perikanan marin, plastik, aluminium dan kaca dikutip di Pulau Sembilan di Bagan Datuk sewaktu Program Hari Konservasi Pulau Sembilan 2024 yang diadakan semalam.

Program anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak itu berjaya menaikkan "pukat hantu" pada terumbu karang di sekitar perairan sembilan pulau yang diwartakan sebagai Taman Negeri sejak 14 Okt 2010. 

Operasi pembersihan itu ialah hasil kolaborasi pelbagai pihak termasuk para sukarelawan dan penyelam daripada Nature & Oceanography Advocate Society (NOAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Persatuan Aktivitis Sahabat Alam (KUASA), Lions Club Ipoh, Lumut Port dan Hard Rock Cafe Ipoh. 

Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berangkat ke program itu diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. 

Turut hadir pada program itu, Orang Besar Jajahan Manjung Datuk Shaharudin Nazari, Pengarah Perikanan Negeri Perak Mohd Ghazali A Manap dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Muhammad Faizal Shah Safian Suri.

Raja Iskandar Dzurkarnain bertitah baginda berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh semua pihak dalam usaha meningkatkan kesedaran konservasi hidupan marin dan kepentingan laut dalam kalangan masyarakat. 

"Dalam kita melakukan konservasi laut, ia perlu dilakukan dengan tindakan yang bijak supaya impaknya dapat memberi kesan besar, satu daripada cara ialah mengutamakan ekosistem penting di dalamnya. 

"Kita kawal selia dan bersihkan bukan sahaja di daratan, tetapi juga di dasar laut sepertimana yang dilakukan pada hari ini, sekiranya tidak dijaga dan dipulihara, kekayaan biodiversiti marin di Pulau Sembilan sudah tentu akan mengalami kemerosotan dan kepupusan," titahnya.

Keunikan dan keindahan Pulau Sembilan titah Raja Iskandar Dzurkarnain, menuntut komitmen semua pihak untuk sama-sama memelihara khazanah ini daripada musnah angkara perbuatan tidak bertanggungjawab. 

Pulau Sembilan yang terkenal dengan pelbagai hidupan liar dan juga plankton ditutup kepada pelancong sejak 2017 untuk proses pemulihan.

Pulau berkenaan sering menjadi tumpuan segelintir nelayan asing yang menceroboh dan nekad memotong pukat mereka setiap kali mengelak ditahan oleh pihak berkuasa. 

Pukat yang hanyut dan tidak bertuan ini bukan sahaja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu "membunuh" terumbu karang yang menjadi sumber makanan serta pembiakan ikan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan