AM > BERITA

Penyedia Media Sosial Perlu Pastikan Persekitaran Dalam Talian Selamat

31/07/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mempunyai obligasi untuk memastikan persekitaran dalam talian selamat selepas pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan itu berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan. 

Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis Dewan Negara di laman sesawang Parlimen  memaklumkan menerusi pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu, penyedia perkhidmatan tertakluk kepada obligasi dan keperluan pematuhan menangani kandungan mudarat bagi melindungi kanak-kanak, perangi gangguan dan buli siber serta mencegah penyebaran maklumat palsu.

“Antara keperluan kelakuan yang perlu dipatuhi pihak penyedia perkhidmatan dalam talian adalah pematuhan mandatori kepada polisi antibuli siber, pelaksanaan sistem pengesahan identiti, polisi moderasi kandungan, penerbitan laporan telus secara berkala dan akauntabiliti di bawah perundangan sedia ada,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai perincian penguatkuasaan pelesenan ke atas semua platform media sosial di Malaysia.

Menurut Kementerian Komunikasi, langkah itu tidak menghalang kebebasan bersuara seperti yang digariskan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bahkan selaras dengan amalan terbaik yang sedang dibangunkan dan dilaksanakan negara-negara lain.

Langkah itu memastikan akauntabiliti pihak penyedia platform dalam melindungi pengguna, meningkatkan keselamatan dalam talian dan menangani kandungan yang melanggar undang-undang negara seperti pengantunan seksual kanak-kanak, buli siber, penipuan dan perjudian dalam talian yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.

Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan