Penceramah Bebas Pertuduhan Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-kanak Perempuan

31/07/2024 08:04 PM

KUALA TERENGGANU, 31 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membebaskan seorang penceramah lelaki daripada tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan, dua tahun lepas. 

Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrulamin Bahron, 63. 

Beliau berkata selepas mendengar dan menimbang keterangan saksi pendakwaan, hujah bertulis serta meneliti eksibit yang dikemukakan, tiada keterangan kukuh bagi mengaitkan Badrulamin dengan kes itu. 

"Secara keseluruhan, saya membuat penilaian maksimum ke atas keterangan semua saksi. Saya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes secara prima facie dan memutuskan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Badrulamin berdepan tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang ketika itu berumur lima tahun di sebuah rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dari 4 hingga 6 Mac 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan. 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani manakala tertuduh diwakili peguam Zulkifli C Yong dan Azali Ibrahim. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan