AM > BERITA

NRES Laksana Perluasan Sistem e-Tanah Melalui Kerjasama Awam Dan Swasta

31/07/2024 11:12 PM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus menerajui transformasi pendigitalan bagi sistem pentadbiran tanah, melalui perluasan sistem e-Tanah secara kerjasama awam dan swasta (PPP).

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sistem e-Tanah ialah satu platform digital komprehensif, yang membolehkan pelbagai urusan pentadbiran tanah dilakukan secara dalam talian.

“Saya mengalu-alukan penyertaan pihak berkuasa negeri yang lain dalam perluasan Sistem e-Tanah, bagi memastikan kita semua dapat mengharungi era pendigitalan secara konklusif dan lestari,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Tanah Negara di sini hari ini.

Beliau berkata sejak 2017, sistem e-Tanah telah diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Perak dan Selangor.

“Pada masa ini, Kerajaan Persekutuan membiayai kos pelaksanaan berjumlah kira-kira RM307 juta di negeri-negeri itu.

“Terbaharu, saya difahamkan menjelang September ini, sistem e-Tanah akan mula diguna pakai di Terengganu,” katanya.

Nik Nazmi berkata pihaknya juga akan melaksanakan penjenamaan dan pembangunan semula sistem MyeTaPP kepada sistem MyLAND, iaitu Sistem Pengurusan Tanah Persekutuan dan Pembahagian Pusaka.

“Ia sebagai mekanisme utama bagi pengurusan tanah Persekutuan dan pembahagian pusaka yang komprehensif dan berintegriti, Sistem MyLAND menyatupadukan data dan maklumat tanah persekutuan di seluruh negara, dengan cara memanfaatkan teknologi geospatial dan pangkalan data yang canggih.

“Dengan adanya MyLAND, pengurusan tanah persekutuan dapat dilaksana dengan lebih teratur, sistematik, dan selaras dengan keperluan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata sistem pentadbiran tanah sedia ada perlu bersedia untuk menangani pelbagai faktor luaran yang memberi impak positif dan negatif, antaranya ancaman kerosakan alam sekitar akibat trend pengimportan sisa plastik tercemar.

“Saya menyeru semua pihak berkepentingan di dalam sektor pentadbiran tanah untuk terus memanfaatkan kemajuan teknologi termaju bagi meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan