AM > BERITA

PCOM Ratapi Pemergian Haniyeh, Kira-kira 200 Hadir Ucap Takziah

01/08/2024 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Suasana suram menyelubungi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sini malam ini apabila orang ramai berkumpul bagi meratapi kehilangan pemimpin dan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dalam satu upacara kecil.

Kira-Kira 200 individu termasuk ahli PCOM hadir untuk merakamkan ucapan takziah termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Pengerusi PCOM Bader Syam menzahirkan penghargaan kepada mereka yang menghadiri majlis itu.

"Kehadiran anda di sini amat bermakna terhadap legasi yang ditinggalkan oleh Haniyeh dan perjuangan berterusan menentang kezaliman rejim zionis Israel," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Terdahulu, Hamas mengumumkan bahawa Haniyeh telah terkorban dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran, ibu negara Iran, menurut laporan Agensi Anadolu.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu iaitu Masoud Pezeshkian semalam.

Stesen penyiar rasmi Iran, yang turut melaporkan kematian Haniyeh, memaklumkan siasatan berhubung insiden itu sedang dilakukan dan hasilnya akan diumum kemudian.

Bagaimanapun, Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan