AM > BERITA

Perhilitan Tangkap Beruang Matahari Jantan Seberat 90 Kg Di Gong Badak

01/08/2024 03:08 PM

KUALA NERUS, 1 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor beruang matahari jantan seberat 90 kilogram dalam satu operasi di Kampung Jati, Gong Badak dekat sini, kira-kira 12.50 malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Song berkata dalam operasi pada 11 malam itu, lapan anggota terlibat dalam penangkapan haiwan yang menggunakan ubat pelali.

Beliau berkata beruang tersebut dipercayai haiwan sama yang dilaporkan berkeliaran di sekitar kawasan hutan Banau, Sungai Derhaka, Sungai Rengas, Kuala Bekah, Pulau Musang, Pulau Rusa, Paloh Sungai Kiat, Losong, Bukit Tumboh dan Taman Desa Wakaf Baru.

"Kami percaya beruang ini ialah beruang sama yang sesat di kawasan tersebut dan tular di laman sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

"Ia berdasarkan ciri-ciri pada beruang iaitu parut dan bengkak di bahagian belakang badannya. Kami tidak memasang perangkap kerana beruang itu sentiasa bergerak dan merayau, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Loo berkata beruang tersebut akan dilepaskan ke lokasi hutan simpan yang sesuai dengan kemandirian spesiesnya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang terserempak dengan beruang di mana-mana lokasi atau penempatan supaya tidak menggangu atau mengejar haiwan tersebut atas sebab keselamatan.

"Kalau terjumpa haiwan liar, anda diminta untuk ambil gambar, video serta lokasi dan maklumkan kepada Perhilitan dengan segera untuk keselamatan penduduk dan haiwan itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan