AM > BERITA

36 Projek Tamu Desa Di Sabah Dijangka Siap Oktober Depan

02/08/2024 03:52 PM

KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 36 projek melibatkan membina dan menaik taraf premis tamu desa di seluruh Sabah kini sedang dalam proses pelaksanaan yang dijangka siap sepenuhnya Oktober ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata pelaksanaan fasa pertama projek itu melibatkan 16 pejabat daerah dan majlis perbandaran di Sabah.

“Di beberapa daerah, ada yang telah mencapai prestasi pelaksanaan sehingga 60 peratus daripada jadual sasaran pelaksanaan projek ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua pejabat daerah dan majlis perbandaran yang terlibat dan memantau pelaksanaan supaya dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya menerusi kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Ewon turut berharap lebih banyak premis tamu desa dapat dibina termasuk menaik taraf di fasa seterusnya dan kementerian akan berusaha mendapatkan peruntukan yang bersesuaian untuk tujuan itu.

Justeru, beliau mahu pejabat daerah dan majlis perbandaran mengemukakan senarai keperluan sebenar mengikut keutamaan bagi pembinaan atau menaik taraf premis tamu-tamu komuniti dan tamu-tamu desa bagi memudahkan perancangan butiran belanjawan kementerian.

“Saya akan memasukkan keperluan ini sebagai ‘perkara yang diharapkan berlaku’ pada Belanjawan 2025 KUSKOP semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap tahun kita mendapat peruntukan di bawah inisiatif belanjawan bagi membantu komuniti tamu, penjaja dan peniaga kecil di luar kawasan mendapatkan kemudahan premis yang lebih baik,” katanya.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan