AM > BERITA

Himpunan Pembebasan Palestin, ruang rakyat tunjuk sokongan kepada perjuangan Palestin  

02/08/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Himpunan Pembebasan Palestin Ahad ini dilihat sebagai ruang untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik menunjukkan kepada dunia sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Badlishah Sham Baharin berkata di pentas dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan sokongan yang konsisten terhadap perjuangan itu dan ia patut disokong oleh semua pihak.

“Saya berharap kita tidak pudar ingatan tentang apa yang patut kita sokong. Mungkin benar manusia ini kadang-kadang cepat lupa, jadi sesekali kita perlukan kejutan untuk kita ingatkan kembali perjuangan (membela rakyat Palestin).

“Jadi ambillah kesempatan ini untuk menyatakan kesatuan hati, kesatuan suara kita untuk membela rakyat Palestin,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama Radio yang disiarkan di Facebook hari ini. 

Sebagai penganjur bersama himpunan itu, Badhlishah Sham juga menyeru orang ramai  agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang sepanjang perhimpunan itu ketika menyatakan kemarahan terhadap kekejaman tentera rejim zionis di Gaza.

“Patuhi undang-undang dan pergilah dengan hati terbuka serta berdoalah kepada Allah supaya perhimpunan ini memberi impak besar kepada perjuangan yang dilakukan,” katanya yang turut menggalakkan orang ramai memakai baju putih sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan