AM > BERITA

Konvoi Prapelancaran KMJG 2024, semarakkan semangat cintakan negara

02/08/2024 10:43 PM

MANJUNG, 2 Ogos (Bernama) -- Lebih 20 kenderaan pelbagai jenis akan menyertai Konvoi Prapelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang dijadual bermula esok di Dataran Putra, Lumut melibatkan perjalanan sejauh 122 kilometer.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak Yosri Abu Mahsin berkata program konvoi dari 3 petang hingga 6.30 petang membabitkan tiga lokasi iaitu Pantai Remis, Beruas dan Sitiawan itu diadakan bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak 2024.

"Sempena program prakonvoi ini, kita akan agihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di setiap hentian bermula di Dataran Putra Lumut, kemudian ke pekan Pantai Remis, Stesen Bas Beruas dan terakhir di Pusat Komuniti Kampung Koh. 

“Program ini bukan sekadar konvoi menyusuri jalan tetapi membawa mesej kepada orang ramai agar menghayati semangat cintakan negara melalui kibaran Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui Bernama di Beruas hari ini. 

Beliau berkata antara agensi kerajaan yang menyertai prakonvoi itu ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Perbandaran Manjung, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

Yosri berkata penyerahan Jalur Gemilang membabitkan wakil rakyat serta agensi kerajaan diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-67 selain sebagai tanda hormat dan sayang kepada negara.

"Apa yang paling penting jiwa meraikan kemerdekaan dapat kita pupuk khususnya dalam kalangan anak muda agar mereka tahu Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan