AM > BERITA

Kotak Seni KB Pergiat Usaha Anak Muda Kelantan Ceburi Bidang Seni Kreatif

04/08/2024 03:59 PM

Oleh Habsah Ismail

BACHOK, 4 Ogos (Bernama) -- Kotak Seni KB menggiatkan usaha bagi membolehkan anak-anak muda di Kelantan terlibat dalam aktiviti kesenian secara kolektif sekali gus memberi manfaat kepada golongan ini, kata pengasasnya Nik Mohamad Izwan Nik Annuar.

Beliau berkata pergerakan secara komuniti penting bagi menyemarakkan industri kesenian di negeri ini.

"Kolektif ini satu tindakan dilakukan bersama ahli kumpulan bertujuan meningkatkan status kehidupan mereka atau mencapai objektif bersama meskipun mempunyai latar belakang berbeza.

"Seiring dengan potensi dan kemahiran dalam kesenian yang dimiliki, penggiat seni di Kelantan termasuk dalam kalangan anak muda mampu menzahirkan kreativiti mereka secara berkumpulan," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada  Festival Kesenian Rakyat Kelate 2024 (FKRK) di Pantai Irama di sini semalam.

Kotak Seni KB yang ditubuhkan sejak 2019 adalah sebuah kolektif seni yang menobatkan seni visual menerusi pameran, demonstrasi lukisan, karikatur dan pertandingan melukis.

Sempena festival kali ini Kotak Seni KB diberi kepercayaan mengendalikan aktiviti di reruai Balai Seni Negara.

Nik Mohamad Izwan berkata menerusi usaha 'Jejak Seni Malaysia' iaitu atu projek khas inisiatif Balai Seni Negara ia membantu dalam memetakan ekosistem seni di seluruh negeri di Malaysia.

"Pada kali ini Kotak Seni KB bersyukur diberi kepercayaan bagi melaksanakan aktiviti sempena FKRK anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Balai Seni Negara mengambil bahagian dalam menyertai pameran dan demonstrasi interaktif dengan memberi peluang kepada kami," katanya.

Beliau berkata Kotak Seni KB juga pernah menjalankan beberapa aktiviti di Kelantan seperti KBcreative Week pada 2023 dan sering menganjurkan program kesenian 'Pasar Cik Siti' dan KB Coffee Week di sekitar Kota Bharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan