AM > BERITA

Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah Bawa Lembaran Baharu Pulau Keladi

05/08/2024 12:02 AM

PEKAN, 4 Ogos (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah akan menjadi lembaran baharu bagi Pulau Keladi di sini, sebagai destinasi tumpuan peminat kraf serta mengangkat dan memelihara warisan tenun negeri ini. 

Baginda bertitah projek pembangunan yang diinspirasikan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini juga merupakan platform terbaik untuk rakyat melihat dan mengenali cara pembuatan tenun. 

“Tengku Ampuan Pahang telah berusaha dengat giatnya untuk memberi kesedaran kepada rakyat Pekan dan Pahang supaya kita harus bangga dengan tenunan dari Pekan itu sendiri.

”Lebih menarik lagi, daripada kenyataan ini adalah antara mereka yang sudah pun terlibat secara langsung di Pekan ini, dengan usaha Tengku Ampuan ia telah melibatkan banduan daripada Penor, Bentong supaya mereka dapat peluang hidup semula bila keluar daripada resort (penjara),” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa merasmikan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi di sini hari ini. Turut berangkat Tunku Azizah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baginda bertitah perkampungan kraf Diraja akan menjadi pembuka mata untuk kawasan ini sebagai satu destinasi pelancongan dan menzahirkan harapan agar kemudahan yang ada di sini dapat diuruskan dengan sebaiknya oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar Pahang Datuk Mohd Nizar Najib dalam ucapannya berkata Pulau Keladi merupakan perkampungan bersejarah khususnya dalam pengekalan warisan seni tenunan rakyat Pahang, Tenun Pahang Diraja.

“Kedatangan Tok Tuan Keraing Aji ke Pekan pada 1722 telah memperkayakan lagi aktiviti menenun di Pulau Keladi. Namun, di bawah usaha dan naungan Diraja daripada Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Tunku Meriam dan seterusnya Tunku Azizah, legasi tenun Pahang Diraja berjaya dilestarikan dan mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Pembangunan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah merupakan penjenamaan semula Kompleks Budaya Pulau Keladi yang ditubuhkan pada 1985 oleh Muzium Negeri Pahang menerusi dana sumbangan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merupakan usaha besar dalam mengangkat serta memelihara warisan kebudayan di negeri ini. 

Perkampungan ini turut menempatkan rumah kelahiran Tun Razak, Pusat Tenunan Sutera Pahang, Pusat Karyaneka, kawasan rekreasi dan permainan tradisional, Rumah Serambi Pahang Kampung Raja Songsang,Temerloh yang dibina pada 1902 dan dipindahkan ke sini.

Selain itu, ia juga menempatkan pusat latihan dibina pada 2007 dan telah siap sepenuhnya pada 2009 dikenali Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar bagi melatih dan melahirkan lebih ramai penenun muda yang kreatif dan berdaya saing.

Tidak hanya kraf tenun, penjenamaan semula kompleks budaya ini kepada Perkampungan Diraja ini juga telah melebarkan kepada beberapa warisan seni kraf seperti songket, batik, ukiran kayu dan kraftangan Orang Asli. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan