AM > BERITA

Pos Malaysia Julung Kali Anjurkan Acara Larian September Ini

05/08/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Buat julung kalinya, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menganjurkan acara larian Pos Malaysia Run 2024 yang dijadualkan berlangsung di Padang Merbok di sini pada 29 Sept ini.

Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia Fiona Liao berkata bertemakan "Jom Laju For Fun!", larian itu bukan sahaja meraikan warisan Pos Malaysia, tetapi juga mengukuhkan komitmen agensi berkenaan untuk membina komuniti dan kehidupan sihat dalam kalangan masyarakat.

“Selepas bertahun-tahun memperjuangkan kehidupan sihat melalui perkongsian dalam beberapa acara larian dan kecergasan utama di Malaysia, kami sangat teruja menganjurkan larian perdana kami sendiri.

“Hari ini, kami juga gembira kerana menerima sokongan besar daripada semua penaja dan rakan kerjasama kami yang turut berkongsi impian serta misi untuk Pos Malaysia Run yang julung kali diadakan,” katanya ketika memperkenalkan barisan penaja dan rakan kerjasama hari ini.

Pada majlis itu, Pos Malaysia memperkenalkan EON Berhad, pengedar terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kepada beberapa jenama kereta terkenal termasuk Proton, sebagai rakan kerjasama utama bagi acara larian berkenaan.

Turut menjayakan acara larian itu antaranya termasuklah Bank Muamalat, Cuckoo, Yinson Green Tech, Allianz Malaysia Berhad, Reebook, Chek Hup, Milo, Pos Aviation, Nature Loop dan Pos Shop.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad Akkbar Danial berkata pihaknya berbangga menjadi rakan kerjasama utama Pos Malaysia Run 2024 kerana ia selaras dengan komitmen syarikat berkenaan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan kelestarian alam sekitar.

“Kerjasama dengan Pos Malaysia untuk larian sulung mereka ini membolehkan kami menyumbang kepada usaha yang bukan sahaja menyokong kesejahteraan masyarakat, tetapi juga menekankan kepentingan kelestarian,” katanya.

Sebanyak tiga acara ditawarkan iaitu – Fun Run (6.2 km + Fun Zone), 10 km dan 15 km dengan yuran penyertaan ditetapkan masing-masing pada RM75, RM80 serta RM85 dan peserta yang berdaftar akan menerima pek perlumbaan bernilai hingga RM140.

Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui www.racexasia.com dengan pendaftaran dibuka hingga 29 Ogos dan semua peserta yang menamatkan larian akan menerima pingat yang diperbuat daripada ikatan zip plastik dan logam kitar semula.

Mengguna pakai pendekatan yang lebih hijau, Pos Malaysia turut menghasilkan kemeja-T larian menggunakan 100 peratus bahan kitar semula, selain basikal elektrik Pos Malaysia untuk kegunaan marsyal dan sokongan operasi sepanjang acara berlangsung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan