AM > BERITA

Pulihara Kemerdekaan, Kekalkan Kedaulatan Negara - PM Anwar

05/08/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kemerdekaan negara yang telah diwariskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj harus sentiasa dipulihara bagi memastikan Malaysia terus kekal berdaulat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata seluruh rakyat Malaysia juga memiliki tanggungjawab untuk memberi makna kepada nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi sejak 67 tahun lepas.

Beliau berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia MADANI yang sentiasa saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang diseliputi sifat ihsan selain saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa bersengketa.

“Malah (tanggungjawab) ini yang disebut oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan 67 tahun yang lepas, iaitu negara ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Program Mengenang Negarawan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj: Negarawan Sejuta Jasa di Bukit Jalil di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama dalam program ini ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalannya K. Saraswathy dan cucu kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tunku Muinuddin Tunku Ahmad Nerang.

Anwar berkata Bapa Kemerdekaan Negara itu adalah seorang pemimpin yang murah dengan senyuman, berwawasan, berpandangan jauh, tegas dan berkeyakinan tinggi.

“Ketokohan Tunku di arena antarabangsa turut dikagumi kawan dan lawan malah telah menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata Allahyarham Tunku Abdul Rahman adalah insan yang bertanggungjawab menubuhkan Association of Southeast Asia (ASA) yang dianggotai oleh Malaya, Thailand dan Filipina pada tahun 1961.

“ASA kemudiannya berubah menjadi ASEAN yang kini dianggotai oleh 10 negara, sekali gus jelas membuktikan jasa dan sumbangan Tunku bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di negaranya sendiri tapi turut dikecapi oleh negara-negara serantau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan