AM > BERITA

Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Beri Harapan Anak Negeri Capai Impian

06/08/2024 06:32 PM

KOTA KINABALU, 6 Ogos (Bernama) -- Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini memberikan harapan kepada anak Sabah terutama daripada keluarga B40 mencapai impian dalam pelajaran masing-masing.

Rory Mae Stanley, 18, yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata biasiswa tersebut telah membuka jalan untuk dia mencapai impian menyambung pelajaran dalam bidang perubatan selepas hampir berputus asa kerana memikirkan kos yang terpaksa ditanggung. 

Mengucapkan terima kasih kepada Hajiji, kerajaan Sabah dan Yayasan Sabah, dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh bagi membanggakan ibu bapa dan kembali menabur bakti untuk negeri ini apabila tamat pengajian kelak.

“Saya kini sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Yayasan UEM di peringkat A-level dan mengambil peluang diberikan ini untuk mencapai cita-cita saya sebagai seorang doktor,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Rory antara 40 pelajar menerima BCNS daripada Hajiji dalam majlis penganugerahan biasiswa tersebut.

Bagi Muhammad Arif Abdul Wahab, 18, yang memperoleh 10A dalam SPM, pemberian biasiswa itu membantu meringankan beban ibu bapa yang perlu menanggung kos pembelajarannya dan adik-adik.

“Pemberian biasiswa ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cemerlang dalam pelajaran dan mengejar cita-cita saya menjadi akauntan di masa depan. Insya-Allah, saya tidak akan sia-siakan peluang ini,” katanya.

Liu Shan Zhui, 18, seorang lagi pelajar memperoleh 10A dalam SPM berkata nasihat ibunya supaya belajar bersungguh-sungguh akan disemat rapi dalam dirinya yang akan mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya bercita-cita untuk menjadi ahli farmasi dan melalui biasiswa ini diharap saya dapat capai impian itu sekali gus membanggakan ibu bapa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan