AM > BERITA

PIC Ambil Tindakan Segera Aduan Pencemaran Habuk

07/08/2024 01:15 PM

GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Penang Infrastructure Corporation (PIC) mengambil tindakan segera berhubung aduan penduduk di kawasan Seri Delima di sini mengenai pencemaran habuk yang dikatakan berpunca dari tapak projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam.

PIC memaklumkan pencemaran habuk itu dikatakan berpunca daripada pengoperasian mobile crusher, justeru pihak kontraktor telah mengalihkan mesin terbabit ke lokasi berdekatan kelompok pokok besar yang bertindak sebagai penghalang semula jadi daripada habuk berterbangan.

"Bagi mengatasi masalah habuk di sepanjang jajaran projek pula, beberapa tindakan mitigasi telah diambil antaranya mempergiat kerja-kerja penyiraman air (water browser) dengan kekerapan sekurang-kurangnya empat kali sehari menggunakan jentera yang mampu menyiram air dengan isipadu lebih tinggi.

"(Selain itu) meletakkan pekerja sepenuh masa di kawasan kritikal bagi melaksanakan penyiraman air secara manual, serta melaksanakan pemasangan tirai penghalang habuk (dust curtain) bagi mengurangkan kejadian debu berterbangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi aduan cerun yang tidak ditutupi pula, PIC memaklumkan kerja-kerja perlindungan cerun hanya boleh dilaksanakan bagi kawasan yang tidak melibatkan kerja pembinaan, manakala bagi cerun yang telah mencapai aras binaan, kerja pelindungan cerun kekal telah dilaksanakan seperti pepaku tanah (soil nailing), guniting, penanaman rumput hydroseeding dan turfing.

Menurut kenyataan itu, pihak kontraktor telah mengadakan sesi dialog bersama-sama penduduk Seri Delima, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan ADUN Seri Delima Connie Tan Hooi Peng pada 29 Julai lepas sementara perbincangan susulan bersama Tan juga telah diadakan pagi semalam bagi membincangkan tindakan susulan yang telah diambil di tapak.

Projek itu merupakan satu daripada projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan