AM > BERITA

Belanjawan 2025: KUSKOP Harap Lebih Banyak Peruntukan Untuk Perkasa PKS

08/08/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap lebih banyak peruntukan dapat diberikan untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menerusi Belanjawan 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata dengan peruntukan yang lebih besar, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan bagi membantu para pemain PKS termasuk penyediaan geran untuk mengembangkan perniagaan.

“Sebagai tulang belakang kepada ekonomi negara, kita berharap dapat menaik taraf PKS di negara ini dan membawakan mereka peluang untuk berniaga bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“Jadi, kita akan meletak cadangan-cadangan atau permintaan-permintaan kita berhubung perkara ini kepada Kementerian Kewangan dan selepas itu, kita akan menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara KUSKOP dan 10 syarikat anchor baharu dan sedia ada bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor di sini hari ini.

Belanjawan 2025 dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini.

Ramanan juga menyeru agar syarikat vendor meningkatkan prestasi dan keupayaan masing-masing tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan syarikat anchor semata-mata. 

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, setiap syarikat vendor perlu mempunyai daya tahan tinggi, kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa serta berfikiran kreatif dan inovatif.

“Pada masa sama, saya ingin mengajak syarikat anchor bersama-sama membantu kerajaan membangunkan program bersesuaian kepada usahawan baharu yang mempunyai aspirasi dan kebolehan untuk menjadi syarikat pembekal atau vendor kepada syarikat anchor,” katanya.

Ramanan juga berkata selama bekerja di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau melihat Perdana Menteri sangat terbuka dan telus dalam mendepani pelbagai isu.

“Kalau kita tengok di bawah kementerian beliau sendiri kalau ada apa-apa kesalahan berlaku, tindakan diambil… tidak kisah sama ada Kementerian Kewangan atau KUSKOP, cara beliau selesaikan masalah adalah berdepan dengan isu… (ini menunjukkan) beliau sangat telus (dan) itu jelas,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan