AM > BERITA

Rapid Bus Perkenal Lorong Bas Di Jalan Klang Lama Bermula 15 Ogos Ini

10/08/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, akan melancarkan projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 15 Ogos ini.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan lorong bas sepanjang 6.37 kilometer itu akan bermula dari Jalan Puchong hinhha Jalan Klang Lama, berhampiran Jalan Halimahton dan ini merupakan projek lorong bas ketiga buat Rapid KL.

“Projek ini dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit dan memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit dari Kinrara ke arah pusat banda raya,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata semenjak pelaksanaan lorong bas di koridor Jalan Ampang dan Jalan Genting Kelang pada 2023, pihak Rapid Bus telah mencatatkan peningkatan penumpang masing-masing sebanyak 27 peratus dan 42 peratus.

“Kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan bas,” katanya.  

Beroperasi pada waktu puncak dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi pada Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum, Rapid Bus memaklumkan projek percubaan lorong bas itu akan memberi manfaat kepada komuniti penduduk di sekitar kawasan Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama dengan melibatkan 42 bas dari enam laluan.

Ini termasuk laluan bas 600: Hab Puchong Utama - Hab Pasar Seni, 640: Hab Seri Manja - Hab Pasar Seni, 650: Taman Desa - Hab Pasar Seni, 641: Pearl Point - LRT Subang Jaya, 651: Pearl Point - LRT Muhibbah dan 652: Batu 3 Jalan Klang Lama, BHP - LRT Awan Besar. 

Pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman sesawang rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan