AM > BERITA

Operasi Carilamat Mangsa Nahas Bot Di Kemaman Diteruskan Pagi Ini

12/08/2024 11:30 AM

CHUKAI, 12 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dua lagi mangsa insiden bot nelayan karam di perairan Kemaman, dekat sini diteruskan pada 7 pag hari ini.

Dua mangsa tersebut adalah Yusof Kassam, 66, dari Raub, Pahang dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25, dari Selayang, Selangor. 

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata operasi disertai 25 anggota dari pelbagai agensi itu melibatkan pencarian menggunakan tiga aset laut dan dua aset udara. 

“Tiga aset laut adalah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Aset udara membabitkan helikopter milik JBPM dan bombardier milik APMM.

“Skop pencarian hari ini, diluaskan sehingga 262 batu persegi iaitu 195 batu persegi untuk sektor udara manakala, 67 batu persegi untuk sektor di laut,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di APMM Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini. 

Beliau berkata pencarian hari ini dijangka berjalan lancar dengan keadaan ombak berketinggian normal antara 0.5 hingga 1 meter, manakala angin bertiup dari barat daya sekitar 10 hingga 15 knot kilometer.

Operasi carilamat memasuki hari kedua ini juga katanya tertumpu di perairan Kemaman dan Kijal iaitu tidak jauh dari lokasi penemuan mayat kedua, pembantu tekong, Shahril Ismail, 50, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi semalam, sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk dua tekong dan kru dilaporkan karam akibat dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika atau 13 kilometer dari pantai perairan Kuala Kemaman.

Kejadian itu menyebabkan dua individu lemas iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan Shahril, manakala Yusof dan Aina Husna masih hilang sementara lima yang lain selamat.

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata pihaknya masih mengesan tongkang yang terlibat untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan