AM > BERITA

Kemas Sasar 500,000 Peserta Sepanjang Program Sambutan Bulan Kebangsaan 2024

12/08/2024 06:43 PM

MELAKA, 12 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyasarkan penyertaan 500,000 peserta seluruh negara melibatkan murid tabika dan taska, ibu bapa serta masyarakat dalam pelbagai program yang dirancang sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan 2024.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata sejajar dengan tema Bulan Kebangsaan iaitu Malaysia Madani Jiwa Merdeka, aktiviti yang dijalankan agensi itu dilihat mampu mendidik dan menyemarakkan rasa cintakan negara.

"Matlamat utama KEMAS ialah penerapan nilai-nilai patriotisme dalam pembelajaran bagi memupuk semangat sayangkan tanah air akan sentiasa mekar dalam hati dan jiwa kanak-kanak,” katanya kepada Bernama selepas program itu di Memorial Pengisytiharan Kemerdekan di Banda Hilir di sini hari ini.

Terdahulu majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Ahmad Kamal Idris berkata semua tabika dan taska KEMAS seluruh negara juga mengikuti majlis pelancaran itu secara langsung dalam talian membabitkan penyertaan 218,000 kanak-kanak dan 17,000 warga KEMAS.

Dalam pada itu beliau berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan ini, pihaknya juga turut melaksanakan Program Sentuhan Kasih Desa MADANI Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Kembara Merdeka dan Eksplorasi Desa.

"Konvoi Kembara Merdeka akan bergerak ke seluruh negara dengan melalui lokasi persinggahan di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

"Manakala Program Eksplorasi Desa MADANI bertujuan meningkatkan kefahaman dan kemampuan modal insan selain mengukuhkan aktiviti ekonomi dan keusahawanan serta menambah baik sistem penyampaian melibatkan kepimpinan desa, belia dan komuniti luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan