AM > BERITA

Orang Asli Jana Hasil Lumayan Jual Cendawan Tiram Di Gua Musang

14/08/2024 12:02 PM

GUA MUSANG, 14 Ogos (Bernama) -- Orang Asli suku kaum Mendriq memanfaatkan spesies kulat yang mudah ditanam iaitu cendawan tiram kelabu dengan mengusahakannya secara komersial di Kampung Kuala Lah di sini, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi komuniti berkenaan.

Cempaka Saleh, 60, berkata dia antara 10 Orang Asli di kampung itu yang mengusahakan cendawan tiram kelabu berkenaan sejak Ogos tahun lepas setelah diberi pendedahan oleh Jabatan Pertanian, Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Kami mendapat pelbagai latihan dan kemahiran mengendalikan tanaman cendawan tiram kelabu dan kini mampu berdiri sendiri dengan membuka kedai di Kampung Kuala Lah.

“Walaupun kami memiliki kebun cendawan yang sederhana dan tidak sebesar syarikat luar, namun kami bahagia kerana sambutan diterima memuaskan dan cendawan laris dijual,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Cempaka berkata dia dan komuniti itu mampu menghasilkan 300 kilogram (kg) cendawan dalam sebulan, dan ia akan dibeli orang kampung di sekitar Gua Musang.

Seorang lagi pengusaha Johari Keladi, 40, berkata cendawan tiram kelabu akan mula dituai pada 10 pagi dan ia mendapat permintaan tinggi daripada komuniti setempat dan dari luar kampung termasuk turut dihantar ke bandar Gua Musang, Bertam dan Dabong.

"Cendawan dijual dengan harga daripada RM12 hingga RM16 sekilogram bergantung pada jarak lokasi dan kos pengangkutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata inisiatif membawa perusahaan cendawan tiram kelabu untuk Orang Asli Kuala Lah membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup dengan menjana pendapatan lumayan.

"Usaha sama ini adalah antara ECER, Jabatan Pertanian serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang yang sentiasa memantau dan memberi bimbingan kepada masyarakat Orang Asli di Kuala Lah.

"Kami akan meningkatkan usaha dan mengatasi masalah bagi memastikan hasil tuaian benar-benar berkualiti," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan