AM > BERITA

KPDN Rintis Pengantarabangsaan Produk Tempatan Di Empat Negara

15/08/2024 07:03 PM

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merintis usaha membawa produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan beberapa rangkaian pasar raya besar di luar negara.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebagai permulaan usaha pengantarabangsaan produk tempatan itu difokuskan kepada empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Thailand dan Jepun.

"Kita mengharapkan dengan program ini yang juga bekerjasama dengan pasar raya yang ada di negara tersebut, kita dapat membawa lebih banyak produk tempatan untuk dipasarkan di rak pasar raya di luar negara.  

“Alhamdulillah, Lotus's Stores Sdn Bhd juga merupakan satu daripada rangkaian pasar raya yang membantu KPDN dalam menggerakkan program pengantarabangsaan produk tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Setia Alam di sini hari ini.

Beliau berkata selain Lotus’s, program pengantarabangsaan produk tempatan itu turut disertai pasar raya Lulu dan AEON Co (M) Bhd.

Armizan berkata KPDN juga sedang mengenal pasti lebih banyak pasar raya besar di empat negara berkenaan untuk dimasukkan ke dalam program itu, sekali gus melonjakkan lagi nilai jualan barangan atau produk buatan Malaysia di pasaran luar negara.

"Kerjasama ini telah bermula dan KPDN bukan hanya ingin lonjakkan jualan dengan menambah bilangan pasar raya yang terlibat, tetapi kita juga mahu lebih banyak Unit Penyimpanan Stok (SKU) barangan tempatan dibawa dan dipasarkan di rak pasar raya terbabit," katanya.

Beliau berkata laporan penuh melibatkan senarai produk dan syarikat yang terlibat dalam pengantarabangsaan produk tempatan itu akan dimaklumkan pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata selain KBBM, pihaknya turut menyediakan program seperti latihan pembangunan perniagaan, program padanan perniagaan dan penandaan logo barangan Malaysia bagi meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Program tersebut memberi tumpuan serta bimbingan terhadap peningkatan kemahiran dan pertumbuhan khususnya bagi PMKS tempatan, selain menggalakkan mereka menggunakan platform pemasaran dalam talian bagi mempromosi, memasarkan serta melonjakkan nilai jualan produk mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan