AM > BERITA

KPDN Pelawa Lotus's, Pasar Raya Besar Buka Cawangan Di Sabah, Sarawak Dan Labuan

15/08/2024 09:18 PM

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa rangkaian pasar raya besar seperti Lotus's Stores (M) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) untuk membuka cawangan  mereka di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan pembukaan lebih banyak pasar raya seumpama itu  bagi membolehkan lebih banyak pilihan kepada pengguna selain mewujudkan persaingan yang sihat.

"Kalau kita lihat harga ayam yang dijual di Lotus's Malaysia, kita dapati mereka secara konsisten dan dalam tempoh yang lama menawarkan harga berpatutan serendah RM6.99 sekilogram berbanding harga pasaran yang tinggi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Sebab itu kita menjemput sekiranya mereka boleh menyediakan banyak pilihan produk pada harga berpatutan, mengapa tidak meneroka pasaran di ketiga-tiga negeri tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Setia Alam di sini hari ini.

Armizan berkata sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk mengawal selia sektor peruncitan, KPDN akan memudahkan proses untuk mana-mana pasar raya mengembangkan cawangan mereka di Sabah, Sarawak dan Labuan, mahupun di lain-lain negeri.

Beliau berkata pihaknya boleh membantu memudah cara termasuk dalam rundingan dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta cawangan-cawangan KPDN di negeri terbabit.

"Sekiranya Lotus’s atau mana mana pasar raya lain boleh memberikan tawaran harga yang baik kepada pengguna, kita akan membantu sehabis baik untuk memudahkan proses mereka membuka cawangan kerana mereka sudah memiliki lesen," katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata Lotus's Malaysia merupakan satu daripada 16 syarikat peruncitan utama yang terlibat sebagai rakan strategik KPDN dalam menjayakan KBBM yang bermula pada Jun hingga Disember setiap tahun.

Beliau berkata pada tahun lepas, Lotus's Malaysia mencatatkan peningkatan nilai jualan barangan tempatan berjumlah RM40.59 juta, berbanding RM40.16 juta dan dan RM34.63 juta, masing-masing pada 2022 dan 2021.

Kempen ini juga menyaksikan bilangan Stock Keeping Unit (SKU) barangan tempatan yang dipasarkan di pasar raya itu meningkat kepada 2,009 item pada 2023, berbanding 1,687 dan 1,633 pada dua tahun sebelumnya, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan