AM > BERITA

Tiada Isu Kerajaan Perpaduan Tidak Dijemput Ke Perhimpunan Agung UMNO 2024 - Fahmi

15/08/2024 08:24 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata tidak ada sebarang isu berbangkit susulan parti komponen Kerajaan Perpaduan tidak dijemput menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata pihaknya menghormati keputusan UMNO yang mengumumkan bahawa perhimpunan itu hanya melibatkan keluarga besar parti berkenaan dan wakil komponen Barisan Nasional.

“Tiada masalah sebab kita bertemu setiap hari, jadi tiada sebarang isu dan kita hormat sebarang keputusan yang dibuat,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu telah dipersetujui secara bersama dalam Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Fahmi juga berkata Kabinet belum berbincang untuk menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama.’

Beliau berkata kerajaan menghormati keputusan yang dibuat mahkamah berkaitan komik itu.

“Ini adalah keputusan mahkamah. Kita hormat keputusan ini... waktu ini belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Selasa lepas, Kementerian Dalam Negeri membatalkan perintah larangan terhadap penerbitan komik karya bekas ahli DAP Hew Kuan Yau yang telah diharamkan pada 2019.

Penarikan larangan penerbitan itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024 yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos.

Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah tersebut membabitkan penerbitan komik berkenaan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan