BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 AM > BERITA

Kerajaan Harap Penstrukturan Semula Ekonomi Negara Dapat Dilaksana Sebaik Mungkin - PM Anwar

16/08/2024 02:06 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan berharap penstrukturan semula ekonomi negara di bawah Belanjawan 2025 menerusi Ekonomi MADANI dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan limpahan hasilnya dapat dinikmati semua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita berdoa kepada Allah agar prestasi (pertumbuhan ekonomi negara) yang terus meningkat pada setiap suku tahun dapat dipertahankan, berkat keadaan negara yang aman, politik yang stabil dan sikap positif dalam memajukan negara,” kata beliau hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 (MAPPA XIX) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Okt 2024 merupakan belanjawan MADANI yang ketiga.

Perdana Menteri menekankan pandangan yang menebar kebencian berdasarkan kaum atau perebutan kuasa politik yang mengabaikan nilai-nilai luhur, bangsa dan agama perlu ditinggalkan.

Anwar turut mengingatkan bahawa perlindungan negara, jaminan keamanan, dorongan ekonomi, kesejahteraan sosial dan penerapan nilai-nilai baik perlu diutamakan.

“Bukan menyebarkan kebencian dan fitnah yang merosakkan banyak negara, termasuk negara-negara Asia. Percayalah, pemerintah kita tidak akan membiarkan hal itu terjadi dalam pengelolaan kita,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyifatkan peningkatan pelaburan negara yang memberangsangkan bagi tempoh Januari hingga Mac 2024 iaitu sebanyak RM83.7 bilion adalah hasil kerja keras dan didorong oleh khidmat cemerlang daripada ratusan pegawai di beberapa kementerian.

Beliau turut mengiktiraf pengorbanan kakitangan awam yang membolehkan indeks keamanan negara terus mencatatkan peningkatan.

“Kalau saya sebut Indeks Keamanan Global, ini bukan sahaja kerana khidmat tetapi pengorbanan nyawa, keringat, darah, pasukan polis, tentera dan perkhidmatan pertahanan negara kita.

“Ini dicapai kerana kita bekerja sebagai satu pasukan. Ini kerana tekad kita bukan sahaja mencintai negara tetapi mengangkat martabat negara,” kata beliau.

Pada majlis yang sama, beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melaporkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk separuh pertama 2024 meningkat kepada 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.

“Insya-Allah, angka pertumbuhan ekonomi dijangka akan terus berkembang. Kita menantikan angka terkini yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan DOSM hari ini,” kata beliau.

BNM hari ini mengumumkan kadar pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2024 sebanyak 5.9 peratus, tertinggi sejak suku keempat 2022.

Sementara itu, Anwar berkata dalam aspek mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti, kerajaan juga akan melaksanakan Rasionalisasi Pejabat-Pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri berkuat kuasa 1 Jan 2025.

“Mulai Januari tahun depan, semua pejabat di luar negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan disatukan di bawah satu bumbung untuk menjimatkan belanja dan mengoptimumkan kos operasi,” kata beliau.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan