AM > BERITA

UMS, LJ Resources Enterprise Tandatangani MoU Untuk Perkukuh Kerjasama Strategik

16/08/2024 04:16 PM

LABUAN, 16 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan LJ Resources Enterprise yang berpangkalan di Labuan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Khamis (15 Ogos), menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam perkongsian strategik antara kedua-dua entiti itu.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr Kasim Md Mansur berkata MoU itu menggalakkan kerjasama antara UMS dan LJ Resources dalam beberapa bidang utama.

Beliau berkata kerjasama itu termasuk penyelidikan, penerbitan, perundingan dan projek komuniti untuk meningkatkan pengetahuan, penganjuran program latihan untuk memajukan kemahiran profesional, serta perkongsian data dan bahan untuk tujuan akademik dan penyelidikan.

“Selain itu, LJ Resources Enterprise dijangka menyediakan peluang latihan praktikal kepada pelajar UMS, manakala UMS akan menawarkan peluang pengajian lanjutan kepada kakitangan LJ Resources bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat,” katanya pada majlis menandatangani MoU di Bangunan UMS Kota Kinabalu hari ini.

Pengasas LJ Resources Enterprise Joanita Joseph berkata LJ Resources menyediakan pelbagai perkhidmatan latihan profesional di Labuan dan MoU ini menggambarkan komitmen kolektif kedua-dua pihak untuk merapatkan jurang antara akademik dan industri.  

"Melalui inisiatif penyelidikan bersama, persidangan kolaboratif dan sesi latihan praktikal, kami menyasarkan untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk kekal relevan dengan keperluan industri," katanya.

Beliau berkata gabungan LJ Resources Enterprise dengan Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Labuan (LOSHPA) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS Labuan), ditambah dengan reputasi akademik UMS, akan mewujudkan platform yang kukuh untuk penglibatan industri yang lebih luas dan jangkauan komuniti.

“Kerjasama itu dijangka memupuk persekitaran bilamana pengetahuan praktikal dan pandangan akademik bercantum, yang membawa kepada penyelesaian inovatif dan peningkatan standard industri serta perkongsian antara LJ Resources Enterprise dengan UMS dijangka memberi impak besar kepada industri di Labuan.

“Latihan dan pengalaman praktikal diberikan kepada pelajar akan memastikan bekalan berterusan profesional mahir yang bersedia untuk memenuhi permintaan industri…selain itu, inisiatif bersama dan projek komuniti akan menangani cabaran tempatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Labuan yang mampan,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan