AM > BERITA

Wajibkan Iklan, Tingkat Pelepasan Cukai Bantu Kelangsungan Syarikat Media Cetak - Ahli Akademik

15/08/2024 05:27 PM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kalangan ahli akademik berpandangan penerbitan media dalam talian yang semakin berkembang pesat memerlukan kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan syarikat media cetak terus relevan.

Antara usaha yang dirasakan mungkin boleh dilaksanakan adalah seperti mewajibkan kementerian, agensi dan jabatan kerajaan membeli ruangan iklan di akhbar tempatan bagi mewujudkan permintaan dan penawaran berterusan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata langkah proaktif kerajaan dalam perkara ini dilihat tepat pada masanya kerana melihatkan kelangsungan syarikat media cetak yang semakin mencabar disebabkan oleh perkembangan teknologi yang mendorong pembaca beralih kepada bahan bacaan digital.

"Kerajaan juga perlu mewajibkan langganan akhbar bercetak di semua pejabat kerajaan dan melaksanakan inisiatif khusus kepada penjawat awam yang membeli surat khabar seperti pengiraan dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tahunan pekerja yang dapat membantu meningkatkan kadar jualan akhbar serta menyemarakkan semula langganan akhbar bercetak di negara ini," katanya kepada Bernama.

Selain itu beliau berkata kerajaan boleh melaksanakan pengurangan cukai kertas bagi menampung kos pengeluaran, serta insentif potongan cukai lain terhadap syarikat media cetak seperti cukai pengangkutan yang dapat memastikan industri itu bertahan lebih lama.

Mohammad Tawfik berkata industri media cetak memainkan peranan penting pada kelompok masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat dan berita-berita terkini kerana bukan semua individu celik teknologi untuk menggunakan teknologi dalam talian.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata kelangsungan syarikat akhbar tempatan amat penting untuk memastikan semak dan imbang kepada berita dalam talian.

Beliau berkata selain itu media cetak juga menjadi rujukan kepada pembaca untuk mendapatkan berita sahih secara fizikal.

Beliau turut mencadangkan kerajaan terus mendesak supaya pemilik platform dalam talian seperti Google, Meta dan Tik Tok membayar kandungan berita kepada syarikat media tempatan yang turut mempunyai akhbar cetak bagi membantu menampung kos percetakan yang semakin meningkat.

Syarikat media tempatan yang memiliki platform bercetak juga perlu memperhebatkan lagi usaha dan lebih kreatif dalam usaha untuk menarik lebih banyak iklan daripada syarikat swasta, agensi kerajaan dan bukan kerajaan. 

"Usaha berterusan perlu dilaksanakan demi kelangsungan syarikat media cetak kerana rakyat memerlukan satu bentuk bahan bacaan yang diwartakan dan bersifat fizikal yang dapat menimbulkan minat membaca.

"Selain itu peranan media cetak adalah penting dalam memastikan pemikiran dan persepsi rakyat dapat dibentuk dengan imej pemberitaan lebih beretika dan terkawal dan bukan melalui sesetengah komponen berita di media sosial yang mungkin tersasar," katanya.

Pensyarah Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Fadzillah Aishah Ismail berpendapat kerajaan perlu menggalakkan orang ramai untuk membeli atau melanggan bahan bacaan dengan meningkatkan pelepasan cukai individu dalam segmen Gaya Hidup yang pada masa ini terhad kepada RM2,500. 

Beliau berkata langkah itu dapat menggalakkan penyertaan orang ramai untuk terus menggunakan bahan bacaan fizikal dan merupakan usaha menang-menang bagi menarik minat membaca dalam kalangan rakyat dan pada masa sama meningkatkan permintaan kepada bahan media cetak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan