AM > BERITA

PRK Nenggiri: Tok Batin Mengundi Sambil Menggayakan Pakaian Tradisional Suku Kaum Mendriq

17/08/2024 01:23 PM

Oleh Megat Amir Irham

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Suasana di pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di sini hari ini diwarnai dengan keunikan pemakaian busana tradisional Orang Asli.

Lengkap berpakaian tradisional, Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Lah, Ali Lateh, 74, tiba di pusat mengundi seawal 8.30 pagi tadi dengan penuh bergaya, mengenakan weskot diperbuat daripada kulit kayu Ipoh dan kulit kayu Terap serta topi daripada daun kelapa.

Tok Batin berketurunan Mendriq itu berkata pakaian sedemikian telah dipakai sejak turun-temurun khususnya bagi suku kaum Mendriq dan Temiar serta digayakan hari ini bagi memperkenalkan kepada masyarakat setempat keunikan budaya masyarakat Orang Asli.

“Ini pakaian tradisional Orang Asli daripada dulu lagi, pada masa dahulu tiada kain, tiada baju, duduk dalam hutan, susah nak dapat kain baju, jadi dia akan buat dengan benda (baju) macam ini, memang daripada moyang saya dulu memakai baju seperti ini.

“Saya dah simpan baju dan topi ini sejak tahun 2008 lagi, saya mengupah orang cari bahan semula jadi kemudian saya menjahit sendiri di kedai, baju ini juga tidak boleh di basuh atau simpan terlalu lama kerana akan reput,” katanya kepada Bernama selepas menjalankan tanggungjawab mengundi.

Daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar, sekitar 14 peratus daripadanya terdiri  pengundi masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, bagi pembantu klinik di Kuala Lumpur Rosliza Ali, 25, berkata dia pulang ke kampung halaman seawal Khamis untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Rosliza menyifatkan peluang mengundi sebagai satu perkara berharga baginya kerana jarang pulang ke kampung disebabkan jarak perjalanan yang jauh.

“Apabila mengetahui tentang PRK ini dua bulan lepas, saya mengambil cuti awal selama empat hari untuk persiapan mengundi, mengelak kesesakan lalu lintas dan membeli tiket bas sebulan awal bagi memastikan tiket tidak habis.

“Walaupun hanya bercuti empat hari dan perlu menempuh perjalanan selama empat jam dari Kuala Lumpur, saya sangat teruja sebab boleh bertemu keluarga selepas sekian lama, selain dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, saya juga berpeluang mengeratkan hubungan dengan keluarga.” katanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan