AM > BERITA

MITRA Laksana Lima Program Dengan Peruntukan RM60 Juta

17/08/2024 03:16 PM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan melaksanakan lima program untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dalam masa terdekat melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P Prabakaran berkata pelaksanaannya memfokuskan kepada tiga skop utama iaitu keusahawanan dan kerjaya, modal insan serta kesejahteraan sosial masyarakat itu.

“Dalam usaha meningkatkan bilangan pemandu lori berat dan pendapatan mereka,  MITRA dengan kerjasama institut-institut memandu yang dikenal pasti oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Program Bantuan Lesen Lori Good Driving License (GDL) MITRA .

“Program yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta ini akan menawarkan tiga jenis kelas lesen GDL iaitu kelas E, kelas E Full (Kejur), kelas E Full (bersendi) dengan sasaran penglibatan seramai 654 belia dan dewasa dari golongan B40,” katanya pada sidang media di Program MADANI Rakyat, Zon Selatan di sini hari ini.

Beliau berkata permohonan akan dibuka September depan dan ia merupakan inisiatif di bawah skop keusahawanan dan kerjaya.

Selain itu, di bawah inisiatf modal insan pula, sebanyak RM35 juta disediakan untuk melaksanakan dua program iaitu Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (RM10 juta) dan Program Bantuan Awal Kemasukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 4.0 (RM25 juta).

Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta bertujuan memastikan kanak-kanak masyarakat India berumur antara empat hingga enam tahun mendapat akses pendidikan awal selain membantu mengurangkan beban keluarga golongan B40 untuk sesi persekolahan tahun 2024/2025.

Ia bakal memberi manfaat kepada 4,545 kanak-kanak dan sebanyak  186 pengusaha tadika telah mengemukakan permohonan untuk mendapat bantuan itu yang akan disalurkan September depan.

Sementara itu, seramai 12,400 pelajar tahun pertama dan kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma yang sedang menuntut di IPT awam serta swasta dalam kumpulan B40 berpeluang untuk menerima manfaat menerusi Program Bantuan Awal Kemasukan IPT 4.0.

Permohonan akan dibuka Oktober ini dengan pelajar tahun pertama dan kedua yang layak akan menerima bantuan secara sekali beri RM2,000, manakala pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pula, akan menerima bantuan secara sekali beri sebanyak RM3,000 yang akan dikreditkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Disember depan.

Bagi inisiatif Kesejahteraan Sosial pula, sebanyak RM23.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan dua program iaitu Program Bantuan Sinar Cahaya MITRA dan Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA.

Program Bantuan Sinar Cahaya MITRA merupakan program baharu berbentuk penyelesaian pantas  yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi meringankan beban masyarakat India golongan B40 dan M40 yang terjejas disebabkan kejutan kesihatan merosot atau kejutan ekonomi.

Antara jenis bantuan boleh dimohon ialah bantuan bencana; bantuan rumah atau bilik penginapan sementara, bantuan kesihatan, bantuan pengurusan jenazah, dan bantuan ibu bersalin yang dilaksanakan dengan peruntukkan RM15.5 juta, melibatkan 14,330 orang penerima.

Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA pula melibatkan peruntukan RM8 juta yang akan memberi manfaat kepada 800 pesakit buah pinggang golongan B40 dan M40 dengan seorang pesakit akan menerima bantuan maksimum sebanyak RM10,000. 

Dalam pada itu, beliau berkata MITRA sedang melaksanakan program peningkatan sosioekonomi masyarakat India fasa dua, proses melibatkan program seperti Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) yang menyasarkan 500 belia India Malaysia akan dihantar ke negara China untuk program 'TVET Boot camp'.

Turut diadakan, program literasi kewangan dan pembangunan ekuiti melalui Karnival Pengurusan Kewangan dan Latihan Pasaran Saham dengan kerjasama Bursa Saham Malaysia, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan