AM > BERITA

Program MADANI Rakyat Zon Selatan: Empat Agensi Keselamatan Pamer Aset

16/08/2024 09:38 PM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Pameran aset canggih dan terkini serta demonstrasi oleh empat agensi keselamatan negara menjadi antara tarikan utama pada hari kedua Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di sini hari ini.

Empat agensi keselamatan yang mengambil bahagian pada pameran itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

Reruai Angkatan Pertahanan Awam (APM) antara yang meriah dengan kehadiran orang ramai yang ingin melihat lebih dekat aset agensi berkenaan selain berpeluang menaiki aset seperti Lori MAN yang digunakan ketika menyelamatkan mangsa banjir serta bot amfibia yang boleh digunakan di darat dan air. 

Anggota APM yang segak mengenakan celoreng biru, turut tidak jemu melayan pelbagai ragam pengunjung khususnya kanak-kanak yang beratur untuk mencuba pengalaman berbaring di atas pengusung (stretcher).

Pembantu Pertahanan Awam APM Bandar Baru Uda Wan Sarefah Satam berkata reruai agensi itu turut mengadakan demonstrasi peralatan operasi Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA), pemeriksaan kesihatan, pengambilan anggota dan pameran haiwan berbisa seperti ular. 

Di reruai JBPM pula, antara aset dan peralatan dipamerkan ialah Compact Fire Rescue Tenders (CFRT), tiga motosikal berkuasa tinggi daripada unit Rapid Intervention Motorcycle Team (RIM) selain pengunjung berpeluang merasai pengalaman masuk ke Fire Escape Simulation Drill.

Wira-wira merah turut mengadakan beberapa demonstrasi seperti memadam kebakaran di dapur, cara penggunaan alat pemadam api yang betul, selain memberi peluang orang ramai mencuba satu daripada syarat kemasukan sebagai anggota bomba iaitu angkat berat.

ATM juga tidak ketinggalan memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri makanan pasukan pertahanan negara ketika latihan dan penugasan operasi iaitu Ransum Tempur Biasa Kantung (RTBK), selain mempamerkan aset seperti lori tentera yang boleh dinaiki pengunjung. 

Rejimen Semboyan Diraja pula menunjukkan peralatan bagi tujuan komunikasi di dalam hutan seperti telefon medan dan alat telekomunikasi lain termasuk Terminal Manpac Alpha Satcom.

Selain itu, ATM turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba senjata seperti HK Silencer MP5 SD2 9MM, M 203 Granned Louncher 40 MM, M 16 a1 5.56, Glock 17 9MM dan M 4 5.56MM.

Reruai PDRM pula mempamekan dua unit jentera Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan kenderaan peronda, selain baju seragam daripada pelbagai unit pasukan itu.  

Sementara itu, pengunjung Fauzi Idham Jailani, 29, dari Taman Universiti Skudai berkata beliau datang seawal 9 pagi tadi kerana ingin melihat lebih dekat dan bergambar dengan aset agensi keselamatan negara yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi media sosial atau kaca televisyen.

“Bukan mudah nak dapat peluang ini, bolehlah juga bertanya terus dengan anggota keselamatan berhubung tugas mereka kerana kadang-kadang kita ingin tahu juga tentang cara sesebuah pasukan beruniform itu bekerja,” katanya. 

Rohizai Zainal, 41, dari Kempas, Johor Bahru pula berpendapat demonstrasi yang ditunjukkan oleh agensi keselamatan merupakan ilmu yang amat berguna terutamanya jika berlaku situasi kecemasan.

“Banyak ilmu yang kita boleh peroleh misalnya apa yang perlu dilakukan jika ada kebakaran atau bertemu haiwan berbisa. Selain itu, saya lihat kanak-kanak juga boleh cuba baju bomba misalnya, ia sudah tentu memberikan pengalaman menarik buat mereka,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan