AM > BERITA

PENTARAMA MERDEKA@HOHO Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Di Ibu Kota

17/08/2024 09:59 PM

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) hari ini mengadakan program PENTARAMA MERDEKA@HOHO di ibu negara sebagai antara inisiatif menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 (HKHM 2024).

Jawatankuasa Media dan Publisiti HKHM 2024 dalam kenyataan memaklumkan program berkonsepkan hiburan santai itu membawa mesej kenegaraan kepada rakyat di sekitar ibu kota selain mempromosikan sambutan HKHM 2024.

Bas ‘hop-on hop-off’ yang membawa artis dan pemuzik PENTARAMA JaPen melalui lima hentian di laluan tumpuan orang ramai bermula di Sungei Wang Plaza, diikuti Menara Kuala Lumpur, River of Life dan Dataran Merdeka, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) dan berakhir di Pavilion KL. 

“Selain persembahan nyanyian lagu patriotik, edaran Jalur Gemilang turut diadakan di lokasi perhentian,” menurut kenyataan itu. 

PENTARAMA ialah akronim kepada Persembahan Nyanyian, Tarian dan Drama. 

Program yang julung kali diadakan itu adalah kolaborasi antara JaPen dan syarikat operator bas KL hop-on hop-off, Elang Wah Sdn Bhd. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan