AM > BERITA

KDN Terima 13,012 Permohonan Penduduk Sarawak Untuk Dokumen Pengenalan Diri

18/08/2024 04:41 PM

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Penduduk Sarawak Tanpa Pengenalan Diri (PPK) telah menerima 13,012 permohonan daripada penduduk di Sarawak untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu adalah hasil daripada operasi yang dijalankan oleh PPK di lapangan yang melibatkan pelbagai zon dan kawasan di Sarawak setakat 31 Julai lepas.

Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Penduduk Sarawak Tanpa Pengenalan Diri telah ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk Sarawak tanpa dokumen pengenalan diri.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk melanjutkan tempoh pasukan petugas khas itu selama setahun lagi  untuk menyelesaikan masalah penduduk Sarawak yang belum memiliki dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata ini kerana beberapa zon di negeri itu masih belum tamat proses pengumpulan maklumat terutama di kawasan pedalaman.

Saifuddin Nasution berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat Sarawak bersama dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah di sini, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan