EKONOMI > BERITA

Bank Islam Perluas Akses e-Pembayaran Ke Kawasan Pedalaman

18/08/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd melancarkan Program Inisiatif Masyarakat Tanpa Tunai Ranau, di Sabah, untuk memperkukuh usaha membudayakan penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam Mohd Noor Jab berkata program tersebut yang dilancarkan di Ranau, semalam, bertujuan untuk menggalakkan para peniaga terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggunakan kaedah e-pembayaran melalui DuitNow QR dan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Biz by Bank Islam (BIMB Biz) bagi urusan perniagaan harian mereka.

Beliau berkata menerusi usaha yang dijalankan, para peniaga terlibat akan mendapat bimbingan dan sokongan menggunakan aplikasi BIMB Biz yang dilengkapi ciri-ciri direka khas untuk memudahkan pengurusan kewangan perusahaan yang dimiliki.

"Aplikasi tersebut juga membantu menguruskan risiko pengurusan tunai peniaga dengan memastikan rekod jual beli harian yang lebih teratur.

"Pada masa sama, komuniti perniagaan juga boleh menerima pembayaran tanpa tunai (DuitNow QR) daripada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Noor, Bank Islam giat mempromosikan penyelesaian berasaskan teknologi seperti kaedah e-pembayaran untuk menggalakkan lagi urus niaga tanpa tunai agar para pelanggan dan pengguna tidak ketinggalan dalam arus digital yang pesat berkembang.

“Kami komited memperluaskan kemudahan pembayaran dan perbankan elektronik, selain meningkatkan akses perkhidmatan yang inklusif dan mesra pengguna,” katanya. 

Beliau berkata objektif utama adalah untuk mewujudkan kesedaran umum terhadap pelbagai kemudahan dan manfaat yang boleh dinikmati pengguna menerusi kaedah perbankan digital yang lengkap, selamat dan memudahkan pengguna tanpa perlu mengunjungi bank fizikal Bank Islam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan