AM > BERITA

Kenaikan Kadar Sewa Mesin Jentuai Relevan, Imbang Peningkatan Pelbagai Kos - Pengusaha

18/08/2024 07:15 PM

YAN, 18 Ogos (Bernama) -- Beberapa pengusaha berkata kenaikan kadar sewa mesin jentuai padi di Kedah dan Perlis daripada RM140 kepada RM200 bagi serelung (0.3 hektar) sawah adalah relevan untuk mengimbangi peningkatan pelbagai kos ketika ini.

Rosli Hasan, dari Kampung Banggol Besi di Pendang, berkata mereka sudah tiada pilihan selain menaikkan kadar sewa dan tidak lagi boleh mengekalkan harga lama.

“Jangkaan kami ialah naikkan kepada RM200 serelung, kami tiada pilihan untuk mengelakkan modal tinggi termasuk membeli alat gantian mesin padi yang naik berkali ganda.

“Kami juga kena tampung kos pemandu jentuai dan jika kami dapat bantuan diesel sekalipun, kami tidak boleh turunkan harga,” katanya kepada pemberita pada sesi dialog antara pesawah dan pengusaha jentera menuai di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan pesawah di Kedah dan Perlis berhubung desas-desus kenaikan sewa jentuai padi.

Seorang lagi pengusaha iaitu Mohd Faizal Haziar berkata walaupun belum ada keputusan muktamad mengenai kenaikan itu, perkara tersebut tidak mampu dielakkan pada musim ini.

“Kami datang untuk berbincang secara harmoni, kami tertekan pesawah pun tertekan tetapi mahu tidak mahu, (kadar sewa mesin jentuai padi) memang kena naik,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia Abdul Rashid Yob pula memohon agar bantuan insentif pembajakan dan penuaian sebanyak RM210 bagi sehektar semusim dinilai semula.

“RM210 itu terlalu sedikit sebab julat perbezaannya tinggi. Sewa mesin padi sahaja RM200 serelung atau kira-kira RM700 sehektar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan