AM > BERITA

PM Sifatkan Pemergian Rozaid Seperti Kehilangan Keluarga Dan Sahabat

19/08/2024 04:08 PM

SUBANG JAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia semalam.

Perdana Menteri yang ditemui ketika menziarahi jenazah di Masjid Putra Heights di sini pagi ini berkata secara peribadi pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang cukup besar kerana beliau sudah menganggap arwah sebagai sahabat dan ahli keluarga memandangkan mereka telah berkenalan sejak sekian lama.

“Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Di pejabat Perdana Menteri, beliau merupakan tonggak dari segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik. Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar, dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya.

Terdahulu Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa hampir sejam bagi menziarahi keluarga Allahyarham.

Antara yang turut hadir di masjid itu ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sementara itu, hampir 100 jemaah menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh imam Masjid Putra Heights Muhammad Ilyas Zulkipli.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya untuk dikebumikan.

Turut berada di tanah perkuburan itu antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutan) Dr Zaliha Mustafa, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Rozaid, 59, yang dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023, meninggal dunia di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini akibat masalah jantung.

Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun, wartawan veteran itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai dan dibenarkan keluar 6 Ogos lepas.

Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh anak berusia 17 hingga 33 tahun.

Sementara itu dalam catatan di Facebook, Anwar berkata beliau mengenali Allahyarham Rozaid dan keluarganya sejak puluhan tahun, terutama ketika arwah baru mula mencipta nama sebagai wartawan yang disegani di akhbar Utusan Melayu, selain bapanya yang menjadi antara pemimpin terawal Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya, Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan keluarga hadir bersama teman-teman lain untuk memberi penghormatan terakhir buat Almarhum Rozaid Abdul Rahman, teman seperjuangan yang telah pergi dijemput ilahi lewat petang semalam,” katanya.

Perdana Menteri turut menganggap arwah sebagai seorang pejuang yang kental dan setia sepanjang mengenalinya.

“Saudara Rozaid adalah pejuang yang kental dan setia, termasuk saat dipenjarakan dan menjadi antara mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pasca ledakan gelombang reformasi pada tahun 1997-1998,” katanya.

Anwar berkata beliau secara peribadi amat terkesan dengan kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang setia dan gigih.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Rozaid, diampunkan segala dosanya serta dilimpahkan kekuatan yang tidak terhingga buat keluarganya. Insya-Allah, perjuangan dan pengorbanan Almarhum akan diteruskan pasukan. Al-Fatihah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan