AM > BERITA

13,000 Pelajar Rasai Keseronokan Pembelajaran STI Sempena Kembara Sains Borneo 2024

19/08/2024 11:04 AM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Program Kembara Sains Borneo 2024 (KSB 2024) anjuran Pusat Sains Negara (PSN) yang bermula dari daerah Lahad Datu hingga Papar, Sabah setakat ini, telah memberi keseronokan pembelajaran sains dan teknologi kepada 13,000 pelajar sekolah.

Menerusi program itu, PSN turut membawa keistimewaan dengan menampilkan bas PSN Trooperz On The Move yang dilengkapi dengan 14 bahan pameran interaktif bertemakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Bas PSN Trooperz On The Move berkonsepkan hands on, hearts on, minds on yang memulakan misinya sejak 2007 bertujuan memupuk pemikiran kreatif dan inovatif serta merangsang minda ke arah pemikiran saintifik dalam kalangan pelajar.

Pengarah PSN Mohammad Fuad Rahman berkata dengan adanya bas pameran itu, PSN akan dapat meluaskan capaiannya ke seluruh pelosok negara untuk memberi pengalaman unik pusat sains kepada masyarakat.

Beliau berkata objektif PSN Trooperz On The Move antara lain untuk meningkatkan pengaksesan maklumat dan tahap literasi sains rakyat Malaysia.

“Menerusi bas pameran ini juga, PSN berharap ia mampu membetulkan persepsi masyarakat tentang sains selain menambahkan keyakinan masyarakat terhadap kepentingan bidang STI (sains, teknologi dan inovasi) kepada pembangunan Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan.

Mohammad Fuad berkata PSN sentiasa bergerak aktif di seluruh Malaysia untuk mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan kekangan geografi dalam usaha membawakan bidang STI terus kepada rakyat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran dan Sekolah St Joseph, Papar bersempena dengan KSB 2024 pada Khamis lepas.

Turut hadir Mohammad Fuad, Setiausaha Bahagian (Pembudayaan dan Perkhidmatan STI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Abdullah Daud, Ketua Negara Hibiscus Petroleum Berhad Malaysia dan Vietnam Dr Pascal Hos dan Ketua Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum Berhad Datuk Eddie Abdullah.

KSB 2024 yang merupakan program khas PSN sejak 2015 ialah platform bagi PSN mendekati pelajar dan komuniti di kawasan luar bandar bertujuan memupuk minat masyarakat dalam bidang STEM melalui kaedah pembelajaran interaktif dan kreatif.

Mohammad Fuad berkata program KSB 2024 menjelajah ke 10 daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan dan Ranau, sebelum berakhir di Kota Kinabalu.

Beliau berkata program itu kemudian akan meneruskan pengembaraan ke lima daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching. 

“Pengembaraan ini melibatkan lebih 20 sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang menerima manfaat adalah sebanyak 20,000 orang.

“Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 ialah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis-saintis terkenal, Kinect Sports, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium dan Planet Virtual Reality,” katanya.

KSB 2024 dianjurkan secara bersama oleh PSN dan MOSTI dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, serta rakan penaja utama program iaitu Hibiscus Petroleum Berhad.

Mohammad Fuad berkata kerjasama strategik antara PSN dan Hibiscus Petroleum Berhad itu mencerminkan dedikasi dan komitmen sektor swasta dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan