AM > BERITA

Masyarakat Perlu Terjemah Seluasnya Pemikiran Allahyarham Siddiq Fadzil - Ahmad Zahid

19/08/2024 03:10 PM

BAGAN DATUK, 19 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau mengambil falsafah idea bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam cara beliau bekerja, sama ada bagi tugasan rasmi atau tidak rasmi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata banyak fikrah Allahyarham Siddiq digunakan dalam gerak kerja beliau sepanjang berada di tampuk kepimpinan dalam kerajaan selama ini.

“Antaranya menerusi langkah ‘ulul albab’ kesemua 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam negara tanpa berkompromi dari segi nilai akademik dan profesionalisme, serta Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara, yang diubah suai menjadi Tabika Pra Tahfiz.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsan 2024 di MRSM Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Datuk Ahmad Azam Ab Rahman serta Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Ahmad Zahid berkata masyarakat harus menterjemah dengan seluasnya pemikiran Allahyarham supaya dapat memahami fikrah beliau terutama dalam soal wasatiyah atau kesederhanaan yang diperjuangkan olehnya sejak tahun 1970-an lagi.

Sementara itu DBP dalam kenyataan memaklumkan seminar hari ini dianjurkan dengan objektif antaranya bagi menghargai jasa dan sumbangan tokoh dalam dunia persuratan Melayu dan tanah air itu, selain mengupas riwayat hidup serta kecemerlangan tokoh berkenaan.

Seminar dengan tema “Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai Menerusi Gagasan Malaysia MADANI” itu dianjurkan oleh DBP bersama WADAH, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Universiti Selangor (UNISEL), MRSM Bagan Datuk dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Allahyarham Siddiq yang juga Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi 2018 meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 akibat jangkitan paru-paru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan