EKONOMI > BERITA

Malaysia Berada Di Landasan Tepat Capai Unjuran Kdnk 4.0-5.0 Peratus Tahun Ini - Tengku Zafrul

19/08/2024 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 merupakan petanda baik untuk Malaysia mencapai unjuran KDNK sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata antara faktor peningkatan KDNK bagi suku kedua adalah peningkatan ketara pelaburan swasta kerana pelabur semakin yakin dengan prospek ekonomi negara.

“Kalau kita tengok, pelaburan swasta meningkat 9.2 peratus pada suku pertama 2024 dan pada suku kedua pula naik 12 peratus, manakala sektor pembuatan pada suku pertama naik 1.9 peratus, dan suku kedua naik 4.7 peratus.

“Alhamdulillah, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sudah mula menampakkan hasil,” katanya menerusi hantaran di platform ‘X’ malam ini. 

Selain itu, beliau berkata lonjakan eksport yang dipacu oleh permintaan global untuk produk Malaysia khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) turut menyumbang kepada peningkatan KDNK pada suku kedua 2024.

“Suku kedua 2024 mencatatkan pertumbuhan eksport bersih sebanyak 3.4 peratus, World Semiconductor Trade Statistics pula meramalkan peningkatan 16 peratus bagi permintaan semikonduktor tahun ini.

“Insya-Allah, pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional akan memastikan Malaysia terus menjadi antara pemain utama industri semikonduktor di peringkat global,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus berusaha memajukan industri tempatan, meningkatkan perdagangan serta menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan