AM > BERITA

Muhyiddin Akan Beri Kerjasama Penuh Kepada Polis

19/08/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun media sosial hari ini, Muhyiddin berkata beliau percaya kenyataan yang dibuatnya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara. 

"Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya," kata beliau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain seperti dilaporkan media hari ini mengesahkan bahawa pihaknya akan merakam keterangan bekas Perdana Menteri itu pagi esok di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

Muhyiddin didakwa mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tindakan itu membangkitkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang bertitah mahu polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut. 

Ucapan Muhyiddin juga menyebabkan polis menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan