EKONOMI > BERITA

Keseimbangan Cukai Dan Insentif Penting Untuk Tangani Pelepasan Karbon Perindustrian

19/08/2024 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan cukai karbon sebagai dorongan kepada syarikat tempatan untuk mengurangkan pelepasan karbon. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menentukan bagaimana cukai karbon akan dilaksanakan di Malaysia.

"Malah, perkara ini telahpun dibincangkan dengan Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan dan MOF diberikan garis masa untuk menelitinya.

“Saya rasa MOF memerlukan lebih masa kerana mereka perlu mengkaji (perkara ini) secara holistik," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman Strategi Pelaburan Hijau, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan cukai karbon tidak akan dibuat dalam tempoh terdekat kerana persediaan untuk melaksanakannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan sejauh mana ketelusan MITI apabila  menggunakan pendekatan ‘carrot-and-stick’ (insentif dan penalti) bagi menggalakkan pelaburan hijau. 

“Sebagai contoh, satu sektor di bawah sektor pembuatan menyumbang hampir 25 peratus daripada pelepasan karbon dan ia merupakan satu-satunya sektor yang terlibat. Jadi apa yang perlu kita lakukan? sudah tentunya kita ada pendekatan ‘stick’ (penalti), kita perlu memastikan syarikat-syarikat mematuhinya,” katanya.  

Tengku Zafrul berkata pendekatan itu akan lebih mudah dan jelas dari segi insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada syarikat tempatan.

"Tetapi kita perlu mempunyai kedua-duanya pada masa yang sama, kita tidak boleh hanya ada ‘stick’ (penalti) sahaja tanpa ada ‘carrot’ (insentif) dan begitu juga sebaliknya,” katanya sambil menambah syarikat tempatan tidak dapat bersaing secara sama rata sekiranya cukai karbon tidak dilaksanakan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan