BUKIT KAYU HITAM, 19 Ogos (Bernama) -- Seorang suri rumah terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas sebuah lori kontena merempuh bahagian hadapan rumahnya di Taman Desa Bayan Emas di sini, hari ini.
Shafiqa Shafie, 37, berkata ketika kejadian kira-kira 2.30 petang itu, dia sedang berehat di dalam biliknya sebelum terdengar bunyi kuat brek kenderaan.
"Saya ada terdengar bunyi lori membrek beberapa kali. Saya intai daripada tingkap tetapi tidak nampak, jadi saya terus ke bahagian dapur. Kemudian saya dengar bunyi rempuhan kuat dan lihat sebuah lori berada di bahagian tempat letak kereta rumah.
"Saya terkejut dan menggigil, nasib baik ada jiran yang datang membantu. Saya bersyukur kerana sempat keluar dari bilik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Shafiqa berkata meskipun lori itu tidak merempuh bahagian biliknya, tetapi serpihan batu-bata serta siling jatuh di atas katil
Menurut Shafiqa, kereta dan motosikal miliknya juga rosak teruk akibat dilanggar lori berkenaan.
Katanya sepanjang hampir lapan tahun tinggal di situ, beberapa kejadian lori terbabas telah berlaku di selekoh di laluan utama berdekatan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata pemandu lori mengalami cedera ringan dan polis melakukan ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial