AM > BERITA

Pahang Komited Kekalkan Sebagai Destinasi Pelancongan Terbaik Negara

20/08/2024 11:41 AM

KUANTAN, 20 Ogos (Bernama) -- Usaha mengekalkan jaringan sinergi antara Tourism Pahang dengan semua agensi luar yang terlibat mempromosikan pelancongan amat penting bagi memastikan peningkatan kedatangan pelancong ke Pahang, sekali gus memberi lebih banyak pendapatan kepada negeri ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata gandingan kedua-dua pihak  memainkan peranan begitu besar dan ia perlu terus konsisten dan komited dalam mengekalkan Pahang menjadi destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

"Di Pahang, kita memiliki semua lokasi menarik yang indah untuk dilawati pelancong seperti pulau dan pasir pantai yang memutih, gunung, hutan rimba menghijau serta salah satunya tempat sejuk di negara ini iaitu Cameron Highlands.

"Justeru, kita amat memerlukan para pemain industri pelancongan, pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media untuk membantu menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan terbaik di Malaysia dan dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan Pelancongan Pahang 2024 di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Wan Rosdy yang dinobatkan sebagai Pahang State Icon of Tourism pada Malam Anugerah Industri Pelancongan baru-baru ini telah diraikan, selain penghargaan diberikan kepada para penggiat sektor pelancongan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan media atas usaha mereka mempromosikan pelancongan Pahang.

Wan Rosdy berkata usaha menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara menerusi penganjuran pelbagai program juga perlu diperkasakan selari dengan menjelangnya Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Pelancongan menyumbang pendapatan yang besar kepada negara dan negeri Pahang, segala usaha ini perlu dilakukan dalam jangka masa panjang untuk menikmati hasilnya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan