AM > BERITA

Insentif Penerbitan Filem Berjaya Tarik Pelaburan Asing, Rancak Penggambaran - Teo

20/08/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR,  20 Ogos (Bernama) -- Pemberian Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) telah berjaya menarik pelaburan asing yang signifikan dan merancakkan aktiviti penggambaran filem di dalam negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited dalam menyokong industri perfileman negara, selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab utama produksi filem di rantau Asia, dan sejak 2013 hingga 2023, pelaburan asing dan domestik bernilai RM2.4 bilion dalam aktiviti itu telah berjaya mewujudkan 22,820 peluang pekerjaan.

“Sebagai sektor yang mencipta peluang pekerjaan dan membuka ruang kepada inovasi, industri perfileman telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Contohnya penggambaran filem dan produksi kandungan kreatif bukan sahaja meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan sokongan seperti teknologi, logistik dan pelancongan, tetapi juga mewujudkan rantaian nilai yang menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Teo berkata prestasi kutipan box-office filem tempatan juga menunjukkan perkembangan positif apabila 56 buah filem tempatan telah mencatatkan kutipan box office keseluruhan sebanyak RM98.8 juta tahun lepas.

“Menariknya sehingga bulan Mei tahun ini kutipan box office telah mencapai RM87 juta daripada 26 buah filem, yang hampir menyamai jumlah keseluruhan tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai FFM33 yang bakal berlangsung pada 7 Dis tahun ini, Teo berkata berdasarkan data yang diperoleh melalui Unit Galakan Industri dan penyertaan Skim Wajib Tayang, lebih 100 filem dijangka bertanding pada festival itu.

“Seperti yang kita lihat di negara lain, festival filem bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan sinema tetapi juga sebagai medan utama dalam mempromosikan industri perfileman dan menarik pelaburan yang lebih besar ke dalam sektor kreatif negara,” katanya.

FFM33 merupakan festival filem bertaraf nasional yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Finas untuk mengiktiraf kecemerlangan kualiti filem dan bakat kreatif pada tahun semasa.

Sebanyak 30 kategori anugerah dipertandingkan, dengan penyertaan mula dibuka bermula hari ini sehingga 6 Sept depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan