AM > BERITA

Komunti Maritim Sandakan Semangat Kibar Jalur Gemilang, Bendera Sabah

20/08/2024 09:55 PM

SANDAKAN 20 Ogos (Bernama) -- Gelora sambutan Hari kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini semakin dirasai dengan komuniti maritim, termasuk penduduk di pulau-pulau di sini turut menyemarakkan sambutan itu dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor berkata lebih meriah lagi apabila para nelayan turut memasang Jalur Gemilang serta bendera Sabah di bot masing-masing.

“Sambutan kibar Jalur Gemilang sangat memberangsangkan bukan sahaja di tanah besar tetapi di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.

“Kita nampak hari ini bot-bot nelayan ada kibaran Jalur Gemilang serta bendera Sabah, kita pergi ke Pulau Berhala dan Kampung Tanjung Aru di sini yang agak jauh dari tanah besar, juga penuh bendera, pengibaran ini cerminan kepada semangat cinta negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jainisah mengetuai konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 ke lokasi checkpoint ke-38 iaitu Pulau Berhala dan Kampung Tanjung Aru di sini, dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sementara itu Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Engku Daik berkata konvoi itu, melengkapkan sambutan yang selama ini hanya dilaksanakan di daratan tetapi pada tahun ini meliputi kawasan maritim.

“Maritim Malaysia julung kali bekerjasama dalam konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan kami cukup bersemangat, komuniti maritim juga bersemangat, hari ini kita nampak semarak merdeka dan meriah,” katanya.

Che Engku Suhaimi berkata dalam menumpukan usaha menjaga pertahanan dan kedaulatan perairan negara, Maritim Malaysia Sabah juga mahu meningkatkan hubungan baik dan kerjasama bersama masyarakat setempat dan rakan strategik agensi.

Selain itu, beliau berkata sepanjang tahun 2020 hingga kini, Zon Maritim Sandakan melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu, mengkoordinasikan 43 Operasi Carilamat Maritim dan menyelamatkan 87 nyawa mangsa insiden di laut seperti kapal karam, pelanggaran dan juga kekandasan dengan harta benda dapat diselamatkan dianggarkan RM3.21 juta. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan